22 Mac 2016


Filem seram, Munafik arahan Syamsul Yusof, 31, meraih RM17 juta dalam tempoh 26 hari tayangan sejak mula dipertontonkan di seluruh negara pada 25 Februari lalu. 

Andai mengambil kira tempoh tayangan, Munafik mengatasi filem aksi, Polis Evo yang memperoleh RM17 juta selepas 60 hari dipertontonkan. Sebelum ini, filem Ola Bola mengutip RM16 juta dalam tempoh 39 hari tayangan. 

Syamsul yang teruja dengan pencapaian filem garapannya itu, berkongsi perasaan di laman Facebook. "Dengan izin Allah, filem kerdilku, Munafik sudah memecah rekod perfileman Malaysia, Singapura dan Brunei...

 Alhamdulillah. Masih hangat di pawagam sekarang," kongsinya yang ketika ini berada di Makkah untuk menunaikan umrah. Syamsul berkata, jauh di sudut hatinya, dia ingin melihat hasil karya yang berkonsep Islamik Dakwah itu diangkat sebagai antara filem berjaya di Malaysia. 

"Akhirnya termakbul doa. Jauh di sudut hati, ingin sekali melihat filem Islamik Dakwah dilihat sebagai antara filem berjaya di Malaysia. Jangan sesekali kita was-was dengan kuasa Tuhan. Allah maha mendengar doa dan rintihan semua hamba. 

"Yakinlah dengan doa hamba pada Tuhan di mana saja terutama di bumi penuh barakah dilimpahi rahmat ini. Makkah di hadapan Kaabah juga Raudah Madinah.... Moga kejayaan ini membuatkan hati kita semua semakin kuat iman, taqwa dan jagalah hubungan dengan Tuhan. 

"Moga Allah reda dengan kejayaan ini," katanya. Kerja keras berbaloi Sementara itu, Nabila, 32, berbangga apabila Munafik mendapat perhatian banyak pihak. Dia yang melakonkan watak Maria dalam filem itu bersyukur usaha kerasnya membuahkan hasil. 

"Semestinya saya gembira apabila kutipan Munafik mencapai tahap membanggakan. Ini dapat meneruskan kegemilangan beberapa filem yang mencatat kutipan cemerlang sebelum ini. "Alhamdulillah, usaha keras saya dapat dilihat peminat. Buat pertama kali saya diberikan kepercayaan menjayakan watak berat begini. 

"Mungkin sebelum ini, mutu lakonan saya kurang diberi pendedahan kerana banyak menjayakan drama. Bukan semua orang menonton televisyen (TV)," katanya ketika dihubungi. Mengenai perkembangan terbaharu, Nabila berkata, ketika ini dia hanya mahu meluangkan masa bersama keluarga. Katanya, sekalipun sibuk bekerja, dia tidak mahu mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!