24 Mac 2016


Operasi bersama tentera dan polis memburu suspek pengganas paling disyaki di Indonesia diteruskan, kata Ketua Polis Negara Jeneral Badrodin Haiti.

Bercakap kepada wartawan selepas majlis memberi penghormatan kepada 13 anggota tentera yang terbunuh dalam misi memburu itu, Badrodin berkata, operasi yang dinamakan Operasi Tinombala itu dilanjutkan hingga Mei.

Sejak dilancarkan beberapa bulan lalu dengan membabitkan pasukan elit tentera dan polis, usaha menangkap Ketua Mujahidin Indonesia Timur (MIT), Santoso, di kawasan pergunungan dan hutan tebal di Poso, Sulawesi Tengah, masih belum berjaya.

Santoso terkenal kerana keganasannya terhadap anggota keselamatan dan menjadi orang buruan sejak lebih lima tahun lalu.

Upacara memberi penghormatan terakhir kepada 13 anggota tentera itu yang diadakan di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma itu turut dihadiri Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Mangsa terbunuh dalam nahas helikopter Ahad lalu ketika dalam penerbangan ke Poso, tempat Santoso dipercayai bersembunyi.

Sekurang-kurangnya 2,500 anggota polis dan tentera dikerah memburu suspek pengganas itu dan pengikutnya sejak Januari lalu.

Menurut Badrodin, operasi bersama itu mengepung kawasan berhampiran daerah Lembah Napu. Sebahagian pengikut Santoso dipercayai berada di situ walaupun yakin ketua MIT itu tidak berada di lokasi sama.

Sementara itu, Gatot Nurmantyo berkata, helikopter tentera yang terhempas Ahad lalu bukan ditembak oleh pengikut Santoso.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!