11 Mac 2016


Bangkok: Pesta Songkran atau Pesta Air yang secara tradisinya diadakan bagi menyambut tahun baru di Thailand menjadi mangsa terbaru kemarau yang semakin buruk melanda negara itu.

Ekoran bekalan air yang semakin berkurangan, kerajaan menasihatkan peserta pesta itu pada pertengahan bulan depan supaya berjimat-cermat menggunakan air.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha menasihatkan peserta supaya hanya merenjis dan bukan menyimbah berbaldi-baldi air atau mengadakan perang air.

“Kerajaan sedang menyiapkan kempen penjimatan air dan meminta rakyat mengamalkan kaedah tradisional dengan merenjis sedikit air kepada orang ramai dan bukannya menyimbah air dalam baldi,” katanya.

Satu kawasan di Bangkok yang bertahun-tahun merayakan Songkran secara besar-besaran ialah Jalan Khao San dan disertai pelancong dari seluruh dunia.

Pemimpin perniagaan di kawasan itu, Piyabut Jiwaramonikul berkata, Pesta Songkran di Jalan Khao San tetap semeriah seperti tahun sebelumnya dan tidak terjejas dengan seruan kerajaan.

“Saya tidak fikir perayaan Songkran selama tiga hari itu membazirkan banyak air kerana pengunjung biasanya menggunakan pistol air.

“Cara ini tidak menggunakan banyak air berbanding menyimbah air kepada satu sama lain,” jelasnya.
Musim kemarau berpanjangan yang melanda Thailand ketika ini turut memberi kesan kepada banyak kawasan pertanian di negara itu.

Kerajaan Thailand mengumumkan 46 daerah di 12 wilayah di negara itu sebagai kawasan yang teruk dilanda kemarau.

Menurut Pejabat Lembaga Kemajuan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan Thailand, krisis kemarau mengakibatkan hampir 500,000 orang dalam sektor pertanian kehilangan mata pencarian dan memerlukan bantuan kerajaan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!