15 Mac 2016


Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, malu besar apabila usahanya mahu menjadi hero kepada rakyat Kelantan dengan membangkitkan isu royalti minyak, dipatahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, dengan cara tidak terduga oleh Menteri Besar Selangor itu.

Ketika Mohamed Azmin ghairah memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan tuduhan mengkhianati dan menzalimi rakyat Kelantan, Shahidan bangkit mencelah dengan menjelaskan sebenarnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak untuk memberi royal­ti lima peratus kepada Kelantan ketika menjadi Menteri Kewangan.

“Saya sendiri (ketika menjadi Menteri Besar Perlis) yang bentang dalam Majlis Kewangan Negara dahulu dan Menteri Kewangan adalah Permatang Pauh, masa itu Yang Berhormat (Mohamed Azmin) merupakan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Kewangan, Menteri Kewangan tidak terima, Menteri Kewangan tolak dalam Majlis Kewangan Negara.

“Dia (Anwar) bukan sahaja tolak Perlis tetapi tolak Kelantan, jadi Yang Berhormat jangan nak jadi hero, tak baik. Kita berjuang di akhirat nanti Yang Berhormat, di dunia ini kejap sahaja Yang Berhormat,” katanya yang menyebabkan Mohamed Azmin kelu berkata-kata buat seketika sebelum Timbalan Presiden PKR itu menyifatkan perkara tersebut sebagai tidak berasas di Dewan Rakyat hari ini.

Namun, apabila Shahidan terus mengasak dan mendedahkan hakikat sebenar, Mohamed Azmin yang ketika itu sedang membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong, sekadar mampu berkata: “Jangan hendak bersungguh sangatlah Arau (Shahidan).”

Tidak berpuas hati kerana sesi perbahasan dan niatnya dihalang, Mohamed Azmin seperti ‘meminta talian hayat’ kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, apabila bertanya di mana Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) lain sehingga menteri pula yang terpaksa bangun mencelah.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor itu turut ‘dibasuh’ oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, kerana cuba menidakkan sumbangan BN dalam membangunkan ekonomi Selangor, sebaliknya hanya tahu membuat cerita mengagung-agungkan apa yang pembangkang telah lakukan.

Tegas Mustapa, Mohamed Azmin tidak sepatutnya mendabik dada dan mendakwa hanya Selangor sahaja menyumbang kepada kerajaan Pusat kerana semua pembangunan yang terdapat di negeri itu adalah hasil penat lelah UMNO dan BN, yang memerintah Selangor sebelum kuasa pemerintahan tersebut jatuh ke tangan pembangkang.

“Selangor merupakan negeri paling banyak menyumbang, itu saya akui tapi itu pun kerana usaha BN, kita buat Pelabuhan Klang, bukan nak ungkit, tapi kita satu keluarga satu negara perlu memainkan peranan bertepatan dengan realiti yang mana negeri terkaya perlu mempunyai kesanggupan membantu negeri miskin,” kata Mustapa.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!