14 April 2016


Biji kas-kas yang merupakan bijian daripada pokok popi hanya digunakan sebagai bahan atau ramuan bagi menyedapkan makanan terutamanya masakan yang berasaskan kari.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed berkata, biji kas-kas boleh dianggap sebagai ramuan penambah rasa seperti penggunaan penambah rasa lain.

“Penggunaan biji kas-kas dalam masakan terutamanya di restoran ahli kami hanya dalam jumlah kuantiti yang paling rendah, sebagai contoh hanya satu sudu teh untuk lima kilogram kari kambing.

“Penggunaannya juga khusus kepada lauk yang berasaskan daging seperti ayam dan kambing, tujuannya hanya untuk melembutkan daging serta untuk mengawal kandungan gula dalam setiap masakan kerana rasanya yang sedikit pahit,” jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta untuk mengulas mengenai penggunaan biji kas-kas atau popi dalam pembuatan kek yang dijual secara terbuka di sebuah kedai kek di ibu negara baru-baru ini.

Tambahnya, biji popi sememangnya mempunyai kandungan narkotin namun tidak mendatang­kan kemudaratan, penggunaan secara berlebihan mungkin akan mendatangkan kesan sampingan seperti ketagih.

“Bagi saya apa-apa bahan sekalipun sekiranya digunakan atau diambil secara berlebihan akan membuatkan sesiapa sahaja akan merasa ketagih. Kita kena ingat apa-apa sahaja bahan yang digunakan dalam setiap masakan perlulah digunakan secara terkawal dan seimbang.

“Buat masa ini, penggunaan biji kas-kas ini tidak menyeluruh dan sudah banyak restoran yang tidak gunakan bahan ini kerana harga­nya yang agak mahal, satu kilogram boleh mencecah ratusan ringgit,” katanya.

Jelasnya, biji kas-kas yang digunakan sejak turun temurun dalam masakan ini bukanlah satu ramuan yang memudaratkan, cuma perlu diingatkan supaya pengambilannya perlulah dalam jumlah yang terkawal.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!