22 April 2016


Gombak: Guna serbuk cili dicampur serbuk kari ikan sebagai senjata untuk menyerang mangsa yang dirompak. Itu antara tindakan dua lelaki yang cuba mencuri lembu di sebuah ladang ternakan di Jalan Manggis Sungai Kertas, di sini, semalam.

Bagaimanapun, tindakan dua suspek itu gagal selepas salah seorang daripada mereka ditahan pemilik ladang berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, salah seorang suspek lelaki berusia 19 tahun ditangkap pemilik ladang berusia 37 tahun selepas berlaku pergelutan, manakala rakannya dapat melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, kehadiran penjenayah disedari isteri pemilik ladang itu yang melihat kelibat dua lelaki mencurigakan di hadapan rumah sebelum memaklumkan perkara itu kepada suaminya.

Katanya, pemilik ladang itu kemudian segera memeriksa sekitar kediaman dan mendapati suspek berada di ladang ternakan lembu di belakang rumahnya.

“Ketika kejadian, salah seorang suspek didapati memasuki ladang itu tanpa kebenaran sambil membawa segulung tali dan satu beg plastik mengandungi serbuk cili bercampur kari ikan selain sebilah pisau.

“Pemilik ladang terbabit menyuluh lampu ke arah suspek dan bertanya tujuannya. Suspek kemudian memberi alasan mahu menangkap babi di kawasan itu,” katanya.

Bagaimanapun seorang lagi suspek tiba-tiba mencampakkan serbuk cili itu ke arah muka mangsa hingga menyebabkan mata mangsa pedih.

Ali berkata, mangsa bagaimanapun sempat bergelut dan merampas pisau milik suspek.

“Mangsa kemudian berjaya menangkap suspek menyebabkan rakan suspek melarikan diri.

“Suspek yang turut cedera mendapatkan bantuan daripada ahli keluarganya sebelum menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!