Beberapa bahagian di sebuah kilang perabot milik Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di Zon Perindustrian Kalijambe di Sragen dekat Jawa Tengah dilaporkan terbakar, petang semalam.
Jakarta Post melaporkan, dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, para saksi memberitahu kebakaran berpunca dari tempat pengering kayu dalam kilang berkenaan.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut saksi, Agus Santoso, kebakaran dilihat bermula di bumbung tempat pengeringan itu dan merebak dengan pantas ke beberapa bahagian lain kilang.
“Para pekerja dilihat panik dan cuba memadamkan api dengan alat pemadam tetapi gagal kerana api terlalu besar,” katanya.
Jelasnya, pengawal keselamatan kemudiannya mengarahkan semua pekerja keluar menyelamatkan diri dan menghubungi pihak bomba.
Sementara itu, 10 buah jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian untuk operasi memadam kebakaran.
Tinjauan mendapati, dua daripada lima buah bangunan kilang terbabit musnah dalam kebakaran itu.