Seorang peguam di Rusia sanggup menelan bahan bukti penting bagi satu kes mahkamah hanya kerana dia mahu memenangi satu perbicaraan untuk anak guamnya.
Bagaimanapun, perbuatan licik peguam yang tidak dinamakan itu terbongkar apabila gelagatnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di pejabat hakim yang mengendalikan kes tersebut.
Portal Yahoo News melaporkan, akibat tindakan bodoh itu, dia kini berdepan denda sebanyak 2,000 pound (RM11,397) atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian di bandar Kyzyl, Rusia itu, peguam tersebut dirakam menguyah dan menelan sekeping kertas laporan ujian pernafasan yang mengandungi butiran kandungan alkohol dalam darah anak guamnya yang didakwa mengakibatkan kemalangan semasa memandu.
Video itu memaparkan peguam tersebut berada seorang diri di dalam pejabat hakim tersebut sebelum dia dilihat mengambil dan menyembunyikan kertas berkenaan di dalam begnya.
Bagaimanapun dia mengeluarkan semula dokumen itu dan hampir memasukkan kertas berkenaan di dalam poket seluarnya sehinggalah dia memutuskan untuk mengunyah bukti berkenaan.
Dilaporkan, peguam itu berbuat demikian ketika hakim dan setiausahanya tiada di pejabat.
Sejurus setiausaha itu kembali ke pejabatnya, peguam tersebut memberitahu laporan berkenaan telah hilang dan tanpa dokumen terbabit, anak guamnya akan terlepas daripada perbicaraan.
Perbuatan peguam itu terbongkar selepas setiausaha tersebut menonton kembali rakaman CCTV.