27 April 2016


Sikap ‘berpuak-puak’ dalam kalangan pemain Kelantan dikatakan menjadi punca utama persembahan tidak konsisten pasukan tersebut dalam Liga Malaysia ketika ini.

Seorang anggota skuad, yang enggan namanya didedahkan, berkata terdapat dua kumpulan dalam pasukan sekarang dan sebagai antara pemain senior dalam pasukan dia semakin hilang sabar dengan situasi itu.

Pemain itu mendakwa, ketika ini wujud kumpulan ‘pemain tempatan’ dan ‘pemain kulit putih’ dalam pasukan sehingga menimbulkan perasaan tidak muhibah dalam Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).

“Saya boleh katakan, apabila wujud dua kumpulan ini secara tidak langsung tiada lagi semangat berpasukan dalam pasukan Kelantan.

“Apabila wujud dua kumpulan dalam pasukan akan menjejaskan semangat berpasukan dan menyebabkan pemain beraksi bukan atas nama pasukan,” katanya.

Pada musim ini, Kelantan dibarisi empat pemain asing iaitu Jonathan McKain dari Australia, Jonathan Lucca (Brazil), Baze Ilijoski (Macedonia) dan Dramane Traore (Mali) serta seorang pemain neutralisasi dari Australia, Brendan Gan.

Mengulas lanjut, pemain itu mendakwa perkara itu boleh diperhatikan setiap kali perlawanan berlangsung dan ketika sesi latihan.
Katanya, dia khuatir masalah itu akan menjadi lebih parah jika tidak diselesaikan dengan segara.

“Pemain import buat hal mereka, begitu juga dengan pemain tempatan. Sikap itu tidak perlu wujud dalam pasukan.

“Anda boleh lihat apabila kami turun ke padang, pemain import dan pemain tempatan tidak ada hubungan untuk bermain sebagai satu pasukan.

“Ini menyebabkan pasukan tidak dapat bermain dengan sempurna. Bola sepak merupakan permainan berpasukan dan bukan individu,” ujarnya.

Tonggak Kelantan itu, yang menjadi salah seorang pemain ketika Kelantan merangkul tiga trofi pada 2012, berkata dia berharap pengurusan Kafa turun padang dan mengambil tahu apa yang dihadapi oleh pemain.

“Bagi saya apabila pengurusan Kafa selalu turun padang, pemain akan dapat salurkan terus setiap masalah yang dihadapi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, masalah tunggakan gaji selama dua bulan pada musim lepas sedikit sebanyak turut menjejaskan persembahan pemain pada ketika ini.

Katanya, pemain agak kecewa dengan sikap pengurusan Kafa yang dilihat mahu lepas tangan dalam isu tersebut.

“Saya harap pengurusan Kafa dapat memberikan maklumat berkaitan dengan tunggakan gaji selama dua bulan untuk musim lalu,” ujarnya, yang turut mendakwa jurulatih K. Devan juga kelihatan gagal menangani masalah tersebut.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Devan mengakui terdapat faktor luaran yang mengganggu pasukan.

“Apabila prestasi pasukan tidak menentu, bukan hanya berpunca daripada jurulatih dan pemain sahaja.

“Kenapa pasukan sahaja yang kena kalau ada faktor luar yang mengganggu pasukan. Banyak faktor lain lagi. Itu semua kena kaji,” katanya, tetapi enggan mengulas lanjut.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!