7 April 2016


Seramai 20 juta rakyat miskin Bangladesh masih meminum air tercemar yang mengan­dungi arsenik, dua dekad selepas toksin berpotensi membawa kematian itu ditemui dalam sumber air berkenaan, kata kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) semalam.

Laporan terbaharu daripada kumpulan tersebut mengatakan Bangladesh gagal mengambil langkah-langkah asas untuk menyelesaikan masalah ber­kenaan yang menyebabkan kematian kira-kira 43,000 rakyatnya setiap tahun, kebanyakannya di kawasan miskin luar bandar.

Bekalan air tercemar bermula sejak tahun 1970-an, apabila kerajaan Bangladesh menggerudi berjuta-juta tiub telaga untuk menyediakan air bersih kepada penduduk kampung tanpa menyedari bahawa lapisan tanah itu telah bercampur dengan arsenik secara semula jadi.

“Bangladesh tidak me­ngambil langkah-langkah asas yang jelas untuk mengatasi masalah arsenik dalam air minuman berjuta-juta penduduk di kawasan miskin luar bandar,” kata penyelidik HRW, Richard Pearshouse kepada AFP.

Tambahnya, punca me­ngapa tragedi besar ini masih kekal ialah disebabkan tadbir urus kerajaan yang lemah.

Bangladesh sebelum ini membina tiub telaga untuk mendapatkan sumber air bersih dari bawah ta­nah yang dicemari arsenik.

Bagaimanapun, HRW berkata, ketiadaan pengawasan kerajaan terhadap skim tersebut selain sikap ahli-ahli politik yang me­ngagihkan tiub-tiub telaga untuk penyokong mereka sendiri menyebabkan ba­nyak kawasan tidak me­nerima kemudahan itu.

“Ini bermakna, situasi tersebut telah berlarutan sejak 15 tahun lalu,” kata Pearshouse.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggelarkan krisis arsenik Bangladesh sebagai keracunan penduduk besar-besaran dalam sejarah.

Pendedahan kronik terhadap arsenik dikaitkan dengan kanser hati, buah pinggang, pundi kencing dan kulit serta penyakit berkaitan jantung, namun HRW berkata, ramai penduduk Bangladesh tidak mempunyai akses terhadap penjagaan kesihatan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!