14 April 2016


"Sudahlah hadiah untuk juara hanya RM30 dan RM15, sijil penghargaan pun tak ada, apalah salahnya jika diberikan sijil berkenaan sebagai tanda penghargaan dan untuk masa depan mereka nanti.”

Itu luahan Mohd Sanusi Kamarul Azaha, 36, yang terkilan apabila dua anaknya yang menjadi juara untuk kategori bawah 11 tahun dan kategori 'Pushbike' bawah lima tahun hanya memenangi wang tunai RM30 dan RM15 menerusi siri pertama Kriterium Berbasikal Remaja Malaysia (JCM) di Serdang,Sabtu lalu.

Gambar pemenang kategori bawah 11 dan sembilan tahun pertandingan berkenaan yang menerima replika cek hadiah kemenangan RM30, RM20 dan RM10 disampaikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut ‘viral’ di laman sosial hari ini dan menerima kecaman daripada ‘netizen’.

Sanusi berkata, siri pertama di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu diakui sebagai langkah terbaik untuk dua anaknya, Darwish Putra Mohd Sanusi, 11, dan Aris Putra Mohd Sanusi,5, mendapatkan pengalaman dalam sukan berkenaan.

"Saya ucapkan tahniah kepada KBS kerana penganjuran seperti ini namun saya juga merasakan hadiah yang ditawarkan tidak melambangkan standard kementerian itu sendiri yang mempunyai nama yang besar.

"Dari segi hadiah yang ditawarkan tidak berbaloi. Hal ini kerana yuran penyertaan untuk dua anak masing-masing RM20 manakala harga basikal pula mencecah hampir RM15,000 dan RM400," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, dia menggalakkan dua anaknya itu menyertai pertandingan berkenaan kerana ia pertama kali diadakan di negara ini selain minat mendalam terhadap sukan berbasikal.

"Pada siri pertama itu, ia seperti mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta yang datang dari negeri lain. Sekurang-kurangnya pihak KBS turut memberikan sijil penghargaan terutama kepada pemenang.

"Ia penting sebagai menghargai bakat peserta muda dan untuk penilaian sekolah serta universiti pada masa akan datang. Harap akan ada penambahbaikan terutama daripada segi hadiah yang ditawarkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah JCM, Firman Shah Muhamad berkata, program berkenaan adalah siri pertama sebagai pengenalan dan untuk melihat sejauhmana sambutan daripada peserta.

"Program ini bertujuan untuk mencari bakat dalam kalangan generasi muda dan memberi peluang kepada mereka mandapatkan pengalaman.

"Hadiah wang tunai itu adalah sebagai tanda saguhati kepada pemenang. Saya tidak rasa ada isu besar yang boleh dibangkitkan dalam perkara ini," katanya.

Katanya, pihak kami akan melihat sebarang penambahbaikan yang boleh dibuat pada masa akan datang termasuk pemberian sijil penghargaan untuk program yang akan diadakan selepas ini nanti.

"Dari segi yuran penyertaan juga akan dibincangkan bersama pihak lain sama ada perlu atau sebaliknya tapi yang pasti akan ada penambahbaikan dibuat," katanya.

JCM yang membabitkan 14 siri di seluruh Malaysia sehingga Disember ini adalah satu langkah baru KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membangunkan sukan berbasikal negara.

JCM diwujudkan untuk melengkapi Pelan Pembangunan Sukan Berbasikal MSN 2015-2023 yang juga adalah pelan jangka panjang bagi membangun dan memajukan landskap sukan ini di Malaysia.

Program akan diteruskan di beberapa destinasi termasuk Perak, Kelantan , Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Perlis, Pahang, Terengganu, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu Khairy yang membuat kenyataan di Facebooknya berkata, jumlah wang yang diberikan sebagai hadiah kemenangan memang kecil.

“Pihak JCM memilih untuk buat demikian sebab yang paling penting untuk kategori umur kanak-kanak adalah minat, pengalaman penyertaan dan kemahuan untuk menang bukan kerana habuan wang.

“Jika dari peringkat kanak-kanak kita sudah biasakan mereka dengan hadiah wang tunai, saya risau mereka akan lupakan matlamat utama mereka berjuang dalam sukan,” katanya.

Menurutnya, segala hadiah kemenangan sudah diberitahu kepada semua peserta sebelum pendaftaran dan dipaparkan dalam laman web JCM, jadi tidak timbul isu mereka tak tahu atau tidak dihargai.

“Rata-rata keluarga yang bawa anak mereka tak fikir soal hadiah wang tetapi mengorbankan masa mereka kerana minat anak-anak mereka dalam sukan basikal.

“Kalau ada perkara yang perlu diperbetulkan adalah pemberian replika cek kepada pemenang. Itu akan dihentikan untuk acara JCM kelak,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!