22 April 2016


PENAJA utama The Red Warriors, Vida Beauty mahu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjalankan bedah siasat ekoran persembahan hambar pasukan itu termasuk tumpas mengejut 3-4 kepada Pahang dalam saingan Liga Super kelmarin.

Pengasasnya, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida (gambar) berkata, bedah siasat itu perlu merangkumi semua aspek melibatkan pengurusan pasukan, jurulatih dan para pemain termasuk aksi yang dipamerkan oleh kesemua tonggak import.

Menurutnya, bedah siasat itu tepat pada masanya untuk melihat segala kelemahan The Red Warriors sebelum keadaan menjadi lebih parah.

“Tidak adil untuk kita menyalahkan jurulatih sahaja, sebab itulah saya mahukan bedah siasat dijalankan meliputi semua aspek.

“Takkan nak tunggu nasi menjadi bubur, baru tindakan hendak diambil. Jadi, inilah masanya untuk KAFA bertindak demi kebaikan pasukan,” katanya.

Pada perlawanan itu, Kelantan bermula dengan aksi meyakinkan apabila penyerang kelahiran Mali, Dramane Traore meledak jaringan pembukaan pada minit kelapan. Namun, mereka dikejutkan dengan tiga gol berturut-turut oleh pasukan tuan rumah hasil jaringan Dalibor Volas pada minit ke-13, German Pacheco (m-45) dan Mohd. Faisal Rosli (m-47).

Kelantan cuba bangkit menerusi gol Blazhe Ilioski hasil sepakan penalti (m-55) sebelum pemain gantian, Mohd. Khairul Izuan mengikat kedudukan 3-3 pada minit ke-77.

Pacheco muncul wira Tok Gajah apabila menjaringkan gol kemenangan seminit sebelum perlawanan tamat menerusi percubaan cantik setelah menyambar umpanan Volas.

Vida memberitahu, sebagai penaja utama beliau turut terkena tempias ekoran aksi hambar yang dipamerkan oleh Kelantan dalam saingan Liga Super ketika ini.

“Saya orang berniaga, mahu atau tidak tempias ini turut terkena. Jadi, saya harap KAFA dapat membuat tindakan proaktif dalam isu ini.

“Saya tidak berniat untuk mencampuri urusan pasukan. Sebagai penaja saya turut mempunyai hak dan apa yang dilakukan ini untuk kebaikan pasukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, penyokong Kelantan mendesak KAFA merehatkan seketika pengendali pasukan, K. Devan ekoran kekalahan 3-4 kepada Pahang.

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRWKB), Mohd. Zainy Mohd. Zain berkata, kekalahan tersebut sukar diterima apabila Kelantan seolah-olah hilang taring dengan membenarkan Pahang bermaharajalela merobek kubu pasukan.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!