20 Mei 2016


Pihak berkuasa melibatkan beberapa buah negara kini dalam misi mencari pesawat EgyptAir MS804 yang hilang daripada radar semasa terbang di Laut Mediterranean semalam.

Pesawat Airbus A320 yang dibina pada 2003 itu dalam perjalanan dari Paris, Pe­rancis ke Kaherah dengan membawa 66 penumpang termasuk tujuh anak kapal dan tiga pegawai keselamatan.

Presiden Perancis, Francois Hollande dalam satu kenyataan berkata, pesawat itu telah terhempas, bagaimanapun Perdana Menteri Mesir, Sherif Ismail berkata, misi mencari masih gagal menemui bangkai pesawat.

Hollande dalam ucapan di televisyen berkata: “kita perlu pastikan bahawa kita tahu segala-galanya yang menjadi punca kejadian ini. Kami tidak menolak sebarang andaian.

“Sama ada itu kemalangan atau andaian lain yang bermain di minda semua iaitu melibatkan pengganas, pada peringkat ini, kita mesti fokus terhadap solidariti bersama keluarga mangsa dan pencarian.”

Pesawat itu dipercayai terhempas di Laut Mediterranean antara Greece dan pesisir pantai Mesir.

Daripada jumlah penumpang, 30 orang terdiri daripada rakyat Mesir, Pe­rancis (15) dan Iraq (dua).

Selain itu, terdapat masing-masing seorang warga Algeria, Belgium, Britain, Chad, Portugal, Arab Saudi, Sudan dan Kanada berada dalam pesawat malang itu, me­nurut syarikat EgyptAir.

Difahamkan juga, terdapat seorang kanak-kanak dan dua bayi dalam pesawat MS804.

EgyptAir menerusi laman Twitter menyatakan penerbangan MS804 me­ninggalkan Paris pada pukul 11.09 malam (waktu tempatan) menuju ke Kaherah.

Komunikasi bersama pesawat itu terputus pada pukul 2.45 pagi waktu Kaherah ketika kapal terbang itu berada dalam ruang udara Mesir pada ketinggian 11,000 meter.

Syarikat penerbangan itu turut mengesahkan hubungan bersama pesawat itu terputus kira-kira 280 kilo­meter utara pesisir pantai Mesir.

Naib Presiden EgyptAir Holding, Ahmed Adel memberitahu, tiada sebarang panggilan kecemasan diterima sebelum pesawat itu hilang.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu kemudian menyatakan pesawat itu ada menghantar mesej kecemasan yang berjaya dikesan pihak tentera.

Pada 31 Oktober lalu, pesawat A321 milik sebuah syarikat Rusia, Metrojet meletup ketika dalam perjalanan dari Sharm el-Sheikh, Mesir ke St. Petersburg, Rusia menyebabkan seramai 224 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Kumpulan Islamic State mengaku bertanggungjawab meletupkan pesawat itu meskipun tidak dapat disahkan kebenarannya.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!