20 Mei 2016


Perbicaraan kes intipan melibatkan 32 individu yang dituduh melakukan risikan bagi pihak Iran di Arab Saudi semalam dikejutkan dengan pengakuan seorang tertuduh yang mengaku Teheran me­rancang aktiviti keganasan semasa musim haji.

Sebuah media tempatan yang dipetik Arab News melaporkan, seorang daripada tertuduh mengaku menghantar mesej audio kepada pemimpin Iran, Ali Khamenei, meminta bantuan kewangan untuk mewujudkan sebuah pusat Syiah di Mekah yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat mengenai ibadah haji kepada Iran.

Selain itu, pusat berkenaan turut menggalakkan hasutan serta perpecahan puak.

Pengakuan itu mengukuhkan dakwaan bahawa Iran tidak akan menghentikan cubaan jenayahnya untuk mengeksploitasi ibadah haji di Mekah dengan menyebarkan pelbagai slogan yang berbaur hasutan dan permusuhan.

Pada masa yang sama, negara itu juga seakan tidak ragu-ragu untuk menggunakan pelbagai kaedah jahat termasuk berjumpa dengan kumpulan militan Hezbollah di Lebanon dalam usaha mensabotaj ibadah tersebut.

Selain itu, Teheran juga dilaporkan cuba menggunakan media­nya, al-Alam untuk memutarbelit dan merosakkan imej Arab Saudi selain menyokong penunjuk perasaan untuk membuat kacau-bilau ketika musim haji berlangsung.

Al-Alam juga dikatakan melatih sekumpulan individu menggunakan komputer, kamera, membuat laporan serta menghantar gambar risikan berkaitan ibadah haji.

Walaupun Iran dilihat cuba mengganggu keamanan dan ke­selamatan anggota Majlis Ke­selamatan Negara Teluk (GCC) khususnya Arab Saudi, terdapat satu penyelarasan antara ketua unit risikan dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi untuk mengesan kumpulan pengintip berkenaan.

Kementerian itu mengumumkan bahawa penahanan 32 tertuduh dalam kes intipan tersebut dibuat di empat bandar utama di Arab Saudi iaitu Mekah, Madinah, Riaydh dan Wilayah Timur selepas mereka dipercayai mempunyai hubungan dengan bahagian perisikan Iran.

Sekurang-kurangnya 2,236 jemaah haji terbunuh selepas bersesak-sesak di Mina pada 24 September tahun lalu, mencetuskan spekulasi menyatakan jemaah haji Iran sengaja berbuat demikian sebagai sebahagian daripada ranca­ngan untuk mensabotaj ibadah ber­kenaan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!