18 Mei 2016


Seorang pekerja penghantar surat ditangkap selepas bertindak kasar cuba menghalang pergerakan anggota Unit Peronda Bermotosikal (UPB) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mengiringi kenderaan membawa peluru senjata api.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari Jumaat lalu, lelaki berusia 37 tahun itu dikatakan bertindak ganas ketika dua anggota UPB mengiringi kenderaan membawa peluru pasukan dari arah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Jalan Genting Klang di sini.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Kuala Lumpur, Datuk Norhadzli Mohd Azhar @Osman berkata, suspek dikatakan cuba menghalang pergerakan UPB berikutan dia terlewat menghantar surat dan terpaksa mengekori belakang kenderaan JPJ.

Menurutnya, ketika tiba di persimpangan lampu isyarat di Jalan Genting Klang, suspek bermotosikal menahan anggota UPB sebelum menepuk bahu anggota itu dengan kasar.

“Anggota UPB yang mengiringi kenderaan membawa peluru khuatir jika lelaki itu mempunyai niat jahat lain sebelum menahannya.

“Bagaimanapun lelaki itu melawan selain mempersoalkan tindakan anggota UPB menahannya.

“Malah, lelaki itu turut memarahi anggota UPB dan enggan memberi kerjasama sebaik diminta menyerahkan dokumen pengenalan diri,” katanya.

Susulan itu lelaki terbabit ditahan untuk tindakan lanjut.

“Suspek yang disoal siasat mendakwa dia lewat untuk menghantar surat dan cuba menghalang pergerakan anggota UPB bagi membolehkan dia memintas laluan.

“Tindakan lelaki itu jelas menyalahi Kaedah 9 Kaedah Lalulintas 1959 dan Seksyen 55 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Berdasarkan peruntukan undang-undang, mana-mana orang awam yang memandu kenderaan di jalan perlu memberhentikannya apabila menerima arahan daripada pegawai polis, warden lalu lintas atau pegawai JPJ yang berpakaian seragam,” katanya.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!