24 Mei 2016


Dengan bermodalkan ayat-ayat al-Quran selain paparan video, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi, 26, dikatakan mampu menagih simpati orang ramai bagi mendapatkan dana selain mempengaruhi mereka untuk ‘berjihad’ dalam kumpulan militan Negara Islam (IS).

Ini kerana pengikut-pengikut lelaki itu yang lebih dikenali sebagai Abu Hamzah Al Fateh dipercayai beranggapan pemberian dana tersebut adalah untuk menegakkan agama selain menyucikan diri daripada dosa yang telah dilakukan.

Bagaimanapun sumber pe­risikan mendedahkan, siasatan mereka mendapati sebahagian besar dana tersebut yang berjumlah lebih RM100,000 dipercayai telah disalahgunakan oleh lelaki itu untuk menjelaskan hutangnya dan isteri yang kini hidup dalam kedaifan di Syria.

Menurutnya, dana yang dikutip dipercayai akan disalurkan melalui akaun orang kepercayaannya dan boleh diakses oleh lelaki terbabit di Syria.

“Bagi pengikutnya apa yang dilakukan oleh Muhamad Wanndy adalah sesuatu yang mulia di sisi Allah kononnya kerana berjihad dan sanggup melakukan apa sahaja bagi menegakkan agama Islam.

“Tetapi mereka dipercayai tidak tahu telah ditipu kerana dia menggunakan sebahagian besar dana untuk membayar segala hutang piutangnya di sini,” kata sumber itu.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan 14 individu termasuk lapan yang mempunyai kaitan de­ngan Muhammad Wanndy ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS).

Kesemua mereka yang terdiri daripada 13 lelaki dan seorang wanita warga tempatan itu ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Se­langor, Perak, Kedah, Perlis dan Johor pada 17 Mei lalu sehingga kelmarin.

Salah seorang daripada 14 yang ditahan dipercayai abang kepada Muhammad Wanndy.

Mengulas lanjut sumber itu memaklumkan, Muhammad Wanndy juga sanggup berbohong kepada pengikutnya de­ngan mereka-reka cerita kononnya dia terlibat secara langsung dalam operasi IS semata-mata untuk mendapat kepercayaan mereka.

Ujarnya, apa yang sebenarnya berlaku ialah lelaki itu hanya merekrut ahli baharu untuk menyertai kumpulan pengganas itu.

“Pihak kita dimaklumkan pada Februari lalu, dia (Muhamad Wanndy) mengalami kecederaan di bahagian badan selepas tertembak diri sendiri dengan AK-47 kerana tidak berkemahiran dalam pengendalian senjata itu.

“Tetapi dia sanggup menipu pengikutnya dengan mengatakan dia cedera semasa menyertai operasi IS,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!