24 Mei 2016


Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli akan mengemukakan semua bukti rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor termasuk habuan wanita dan wang kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau akan bertemu dengan Presiden PKR itu bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan dalam satu mesyuarat esok.

Katanya, jika diputuskan laporan perlu dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau akan berbuat demikian, selepas berbincang dengan Wan Azizah.

“Saya akan serahkan apa sahaja yang dimiliki dan kemudiannya berbincang dengan Presiden PKR dan juga parti.

“Kebiasaannya isu ini akan dibawa ke peringkat Lembaga Disiplin PKR, bergantung kepada perbincangan dengan Wan Azizah. Jika bersetuju membawa perkara ini ke SPRM, saya akan melakukannya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pada 20 Mei lalu, Rafizi mengaku me­nulis mesej dalam aplikasi WhatsApp mengenai habuan wanita dan wang jika mahu berurusan dengan kerajaan negeri Se­langor yang menjadi viral.

Ahli Parlimen Pandan itu turut mengakui ‘Kak Zu’ yang di­sebut dalam perbualan kumpulan WhatsApp Solidarity For Anwar adalah merujuk kepada Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Walau bagaimanapun, selepas dakwaan tersebut menjadi viral, Rafizi menafikan tuduhan itu ditujukan kepada mana-mana wakil rakyat pembangkang di Selangor, sebaliknya mendakwa perbualannya merujuk kepada individu tertentu yang tidak dinamakan.

Tambah Rafizi, beliau mempunyai banyak bukti yang bukan hanya tertakluk kepada perbualan WhatsApp semata-mata.

Sehubungan itu, Rafizi berkata, beliau perlu membawa segala bukti kepada Presiden PKR terlebih dahulu.

“Standard betul atau salah bagi saya mungkin berbeza dengan orang lain,” ujarnya.

Menurutnya, jika PKR mahu melaksanakan sesuatu yang lebih baik, ahli-ahlinya perlu mempunyai pandangan yang sama dalam menangani rasuah.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!