26 Mei 2016


Tanpa sengaja, Mohd Syahrin Abdul Aziz, 43 melanggar harimau sehingga mati di Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2).

Walaupun kejadian itu sudah tiga bulan berlalu, ia masih segar dalam ingatan Mohd Syahrin. Paling tidak boleh dilupakan apabila dirinya ditujukan soalan tentang mengapa dirinya melanggar harimau berkenaan.

“Saya tidak tahu mahu menjawab apa dengan pertanyaan sebegitu. Saya bukan sengaja mahu melanggarnya. Saya juga ada hati dan perasaan.

“Saya kesal apabila ada sesetengah pihak yang menuduh saya sengaja melanggar haiwan lindungan tersebut. Kejadian ini saya sifatkan sebagai satu di antara sejuta dan tidak sangka ia menimpa kami sekeluarga.

“Saya seorang pencinta haiwan. Kucing pun saya tidak tergamak pukul inikan pula seekor binatang yang susah untuk kita jumpa terutama di depan mata kita sendiri. Lagi saya kesal apabila diberitahu hasil pemeriksaan harimau betina itu sedang bunting.

Selepas kejadian itu ramai mula mencarinya. Sehinggakan sebaik sampai di rumah ibu mentua pada jam 7 pagi, telefonnya tidak berhenti berdering. Rentetan itulah, dia terpaksa menutup telefon bimbitnya itu.

“Mereka bertanya tentang kelajuan kenderaan saya. Kalau saya memandu laju, pasti harimau itu akan melambung, kami sekeluarga pun akan terkorban sama. Kenderaan tentunya akan terbabas masuk ke dalam gaung,” tegasnya.

Kemalangan itu sudah tentu membuatkan dirinya tidak dapat berehat dengan secukupnya. Pagi dia tidur agak lewat dan akhirnya jam 4 petang barulah terjaga daripada tidur. Telefon bimbit yang dimatikan segera dihidupkan. Alangkah terkejutnya apabila telefon dihidupkan, begitu ramai yang mencarinya.

Daripada kenalan sampailah rakan-rakan media. Lebih mengejutkan apabila tragedi langgar harimau itu sudah menjadi viral dan heboh menjadi topik bualan masyarakat.

Walaupun demikian, Mohd Syahrin tidak membiarkan kekecewaan melanda dirinya. Sebagai individu yang cintakan haiwan, sebaik kejadian itu dia menunggu untuk memberi kerjasama    kepada pihak berkuasa yang datang membuat laporan dan penyelidikan.

Namun, tanpa pengetahuannya, dia tidak menyangka ada pengguna jalan raya yang berhenti untuk melihat bangkai harimau itu. Ada juga yang telah mengambil beberapa organ binatang itu seperti gigi untuk dijual.

“Saya larang mereka ambil bangkai harimau itu, tambahan pula saya perlu jadikan bangkai binatang terbabit sebagai bukti untuk tuntutan insurans kenderaan nanti,” katanya yang kemudiannya pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk membuat laporan.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!