2 Jun 2016


Sebanyak 40 bangkai anak harimau ditemukan di sebuah ‘kuil harimau’ kontroversi oleh pihak berkuasa hidupan liar Thailand dan polis dalam satu serbuan hari ini.

Penemuan itu dibuat ketika operasi menyelamatkan 45 ekor harimau dewasa dari Kuil Wat Pha Luang Ta Bua di wi­layah Kanchanaburi, barat Bangkok sejak beberapa hari lalu.

Pegawai polis, Kolonel Bandith Meungsukhum berkata, anak-anak harimau itu dipercayai mati ketika berusia satu atau dua hari.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Taman Thailand, Adi­sorn Noochdumrong berkata, pihaknya akan memfailkan tuduhan kepada kuil ber­kenaan kerana menyimpan bangkai haiwan tanpa kebenaran.

“Seorang penjaga kuil memberitahu dia diarahkan untuk menyimpan bangkai berkenaan apabila haiwan tersebut mati di dalam tempat penyimpanan berhawa dingin,” kata Adisorn.

Kumpulan hak asasi dan pemuliharaan haiwan sebelum ini menuduh kuil tersebut terlibat dengan aktiviti perdagangan haram hidupan liar serta mengaut keuntungan berlipat ganda dengan menjual bahagian tubuh binatang eksotik untuk tujuan perubatan tradisional Cina.


Serbuan di kuil sama tahun lalu menemukan puluhan ekor haiwan hidup seperti burung enggang, serigala dan beruang.

Sementara itu, pihak pengurusan kuil tersebut di laman Facebooknya menafikan dakwaan terlibat dengan pasaran gelap hidupan liar sebaliknya menjelaskan, adalah biasa anak harimau mati ketika atau sejurus dilahirkan.

“Sebelum tahun 2010, anak harimau yang mati akan dibakar.

“Namun, polisi kuil berubah selepas itu menyaksikan bangkai haiwan tersebut disimpan di dalam peti sejuk atau diawet di dalam balang,” jelas kuil berkenaan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!