3 Jun 2016


Bekas ahli PAS yang meninggalkan parti itu dilabel sebagai pengkhianat kerana memungkiri janji, amanah dan sumpah untuk memperjuangkan Islam. 

Perwakilan Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Sa'ari, berkata dakwat akan merakam perbuatan golongan itu sebagai sejarah yang berulang. "Pemuda PAS akan berpesan kepada anak cucu, ini kubur pengkhianat yang menikam perjuangan kita dari belakang. 

"Ramai yang lari ke sebelah sana (Parti Amanah Negara) kerana jahil dan tidak tahu kedudukan sebenar. "Kita tahu mereka rindu nak bersama dengan kita, ada yang hari-hari 'update' (letak) status dalam FB (Facebook) mengenai Muktamar PAS sedangkan mereka dah pakai baju oren (Amanah). 

"Buat mereka yang asyik mengintai, ingin saya tegaskan iaitu dari haruan bermain di pantai, baiklah keli berdiam di sarang; dari tuan asyik mengintai, baiklah kembali mengisi borang," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan dasar Presiden pada Muktamar PAS ke-62 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), malam ini. Menyentuh hubungan PAS dengan PKR, Ahmad Fadhli berkata, ia harus dikaji semula serta diteliti. 

"PKR perlu jelaskan ingin bersama parti mana. Mana mungkin cinta kita dapat bertahan jika PKR dan DAP duduk bersama, jika menjalin hubungan dengan parti satu lagi. "Mereka kena buat pilihan sama ada mahu bersama kita atau tidak," katanya. 

Beliau berkata, budaya politik matang dan sejahtera mempunyai pelbagai pendekatan, justeru tidak wajar dipertikaikan jika kelihatan berbeza daripada kelaziman. "Masalahnya, mereka lihat semua salah. Bentang RUU (rang undang-undang) salah, pakai baju Melayu pun salah," katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!