21 Jun 2016


Berpura-pura membersihkan meja sambil berjoget. Itu aksi lucu dilakukan seorang penjenayah ketika menceroboh masuk ke dalam premis restoran sebelum melarikan 10 tong gas memasak.

Dalam kejadian jam 10 pagi Khamis lalu, lelaki dianggarkan berusia 20-an itu dikesan masuk melalui pintu pagar hadapan premis terletak di Seksyen 10, Bandar Baru Bangi, di sini.

Pengurus restoran, Mohammad Niza Ishak, 33, berkata, dia dimaklumkan salah seorang pekerjanya berhubung kejadian itu ketika mahu membuat persiapan membuka restoran jualan pada jam 12 tengah hari.

Menurutnya, dia kemudian bergegas datang ke restoran sebelum meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Berdasarkan rakaman CCTV itu, seorang lelaki yang memakai jersi berwarna gelap, bertopi serta berseluar pendek dilihat muncul sambil memegang kain.

“Suspek kemudian berjoget di dalam premis seolah-olah sedang bekerja sambil membersihkan meja menggunakan kain itu,” katanya.

Menurutnya, tujuh pekerja berada di asrama di tingkat atas premis itu namun tidak menyedari kehadiran suspek berikutan operasi perniagaan bermula pada waktu petang.

“Suspek kemudian mengangkat semua tong gas di dalam premis sebelum dimasukkan ke dalam kereta model Proton Persona berwarna kelabu yang diletakkan di luar pagar restoran.

“Pekerja saya juga ada menemui kesan makanan ditinggalkan suspek di belakang premis. Ada kemungkinan suspek pernah datang ke restoran saya sebelum ini sebagai pelanggan,” katanya.

Mohamad Niza berkata, susulan kejadian itu satu laporan dibuat di Balai Polis Kajang bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!