Seorang pelajar perempuan sekolah tinggi Amerika Syarikat (AS) dihadiahkan sebuah kereta selepas dia berjaya hadir ke sekolah pada setiap hari selama empat tahun berturut-turut.
Portal MSN melaporkan, kereta Toyota baharu jenis Scion itu dianugerahkan kepada Stormy Brewer selepas dia terpilih sebagai pemenang utama dalam program It Pays to Stay in School yang dianjurkan sebuah pengedar kereta tempatan, di sini.
Pengumuman kemenangan Brewer dibuat pada satu majlis yang diadakan di Kolej Station Hilton, Ahad lalu dan dia nyata teruja kerana berjaya memenangi hadiah tersebut.
“Anda tahu, anak-anak ini berada di sini malam ini bukan kerana menghadiri majlis perpisahan atau menjadi kapten pasukan bola sepak. Mereka di sini kerana membuat komitmen dan mereka menunaikan komitmen itu,’’ kata pemilik syarikat Atkinson Toyota, Paul Atkinson.
Brewer mengetepikan sebanyak 1,200 orang pelajar yang mengambil bahagian dalam cabaran It Pays to Stay in School dan dia disenarai pendek bersama 240 peserta yang berjaya.
Daripada jumlah itu, hanya seorang pemenang hadiah utama dipilih, manakala sebanyak 55 pelajar lagi menerima biasiswa bernilai AS$1,000 (RM4,056).
Sementara itu, Brewer merancang untuk melanjutkan pengajian di Universiti Texas A&M dan membawa kereta baharu itu ke kampus.