23 Jun 2016


Pengguna lebuh raya dinasihat tidak membunyikan hon kepada binatang yang tersesat di lebuh raya bagi mengelakkan haiwan berkenaan menjadi panik dan tidak terkawal.

Timbalan Ketua Pengarah II Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Fakhrul Hatta Musa berkata, bunyi hon menyebabkan binatang akan menjadi tidak keruan dan boleh mengundang bahaya kepada keselamatan pemandu jalan raya serta haiwan itu sendiri.

"Pemandu perlu memperlahankan kenderaan dan membantu menyelamatkan haiwan dengan menghubungi pihak berwajib seperti talian hotline Plus, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Perhilitan untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas beberapa kejadian binatang terlepas di lebuh raya baru-baru ini, termasuk seekor burung unta di Lebuhraya Persekutuan pada 16 Jun lalu, dan tiga hari kemudian kuda terlepas di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Baharu, Kelantan.

Fakhrul Hatta berkata insiden itu berpunca daripada kecuaian pemilik haiwan berkenaan dan pemilik boleh disaman jika binatang itu menyebabkan kemalangan di jalan raya.

“Pemilik atau penternak haiwan yang berlesen perlu mengikut garis panduan ditetapkan untuk menempatkan haiwan di tempat selamat. Sebagai contoh, kuda tidak boleh dilepaskan sewenang-wenangnya," katanya.

Fakhrul Hatta berkata proses pengalihan binatang juga perlu dilakukan menggunakan kenderaan khas dan kotak khas bagi mengelak binatang terlepas.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!