16 Jun 2016


PELAKON Pekin Ibrahim secara terbuka menyuarakan tanda sokongannya terhadap kempen terajang cermin sisi kereta yang hangat diperkatakan dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.

Meskipun tindakan tersebut diakui agak kasar, namun ujar pelakon filem Mat Moto itu, kempen berkenaan diwujudkan oleh penunggang motosikal untuk memberi kesedaran kepada pengguna kenderaan supaya tidak menggunakan lorong kecemasan ketika kesesakan lalu lintas.

Jelasnya lagi, kempen itu diadakan rentetan daripada kemalangan yang mengorbankan dua beradik, penunggang dan pembonceng motosikal di Lebuh Raya Utara-Selatan pada bulan lalu. Mereka meninggal dunia kerana lewat mendapatkan rawatan berikutan laluan ambulans di lorong kecemasan dihalang oleh pengguna kenderaan.

Walaupun menyokong kempen tersebut, Pekin menegaskan, dia tidak terlibat secara langsung dengan perbuatan menendang cermin sisi kereta. Katanya, dia hanya menyokong kempen untuk memberi kesedaran kepada orang ramai, bukannya perbuatan tersebut (menendang cermin sisi kereta).

KOSMO!: Benarkah Pekin menyokong kempen terajang cermin sisi kereta?

Pekin: Memang benar saya menyokong kempen tersebut kerana itu salah satu cara terbaik untuk mendidik pengguna kereta serta kenderaan lain supaya tidak menggunakan lorong kecemasan ketika kesesakan lalu lintas. Tindakan menggunakan lorong kecemasan bukan sahaja mengundang masalah seperti ambulans lewat tiba andai ada kemalangan tetapi juga membahayakan penunggang motosikal.

Setakat ini adakah anda menerima sebarang kecaman kerana menyokong kempen berkenaan?

Tidak ada pihak yang marah saya kerana menyokong kempen ini. Bagi saya tidak ada salahnya menyokong kempen yang memberi kebaikan kepada semua pihak. Selepas kempen ini diketahui ramai, pengguna kereta pasti akan mengikut laluan yang betul andai tidak mahu cermin sisi kereta mereka ditendang oleh penunggang motosikal.

Pada pandangan anda mengapa harus menggunakan cara yang kasar seperti menendang cermin sisi kereta?

Sebelum ini pihak berkuasa telah menetapkan undang-undang yang harus dipatuhi dan mengeluarkan saman andai menggunakan lorong kecemasan. Namun, pemandu kereta serta kenderaan lain masih tidak sedar dan tetap mementingkan diri menggunakan lorong kecemasan sesuka hati.

Oleh itu, kita harus menggunakan cara kasar untuk menyedarkan mereka, jika tidak mahu cermin sisi ditendang sila ikut laluan yang betul.

Lorong kecemasan hanya boleh digunakan andai terdapat kecemasan sahaja bukannya sebagai laluan tambahan ketika kesesakan lalu lintas.

Adakah anda terlibat secara langsung dengan tindakan menendang cermin sisi kereta dan kenderaan?

Ingin ditegaskan, saya hanyalah menyokong kempen tersebut untuk menyedarkan orang ramai bukannya sokong tindakan menendang cermin sisi kereta. Sokong kempen dan perbuatan itu berbeza. Saya juga tidak pernah menendang cermin sisi kereta orang lain.

Jika kempen ini berkesan, orang ramai akan mula sedar bahawa mereka tidak lagi boleh menggunakan laluan kecemasan sesuka hati, secara tidak langsung ia turut membantu pihak berkuasa.

Sebagai penunggang motosikal adakah anda pernah berhadapan dengan situasi bahaya akibat kegagalan orang lain mematuhi undang-undang?

Bohonglah jika kata tidak pernah. Biasanya apabila jalan raya sesak penunggang motosikal akan menggunakan laluan paling kiri iaitu lorong kecemasan, namun keadaan menjadi bahaya apabila pengguna kereta turut menggunakan laluan yang sama.

Jalan raya bertambah sesak apabila laluan yang sepatutnya ada tiga lorong menjadi empat lorong gara-gara sikap pentingkan diri sendiri pengguna kenderaan lain.

Saya harap selepas ini, orang ramai akan sedar dan mula mematuhi undang-undang. Walaupun isu lorong kecemasan ini menjadi kecoh, impaknya adalah wujud kempen kesedaran ini selain pihak berkuasa juga semakin tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan di jalan raya.

Boleh kongsikan aktiviti anda sepanjang bulan Ramadan?

Sepanjang Ramadan saya akan berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Sabah kerana menerbitkan filem dokumentari pertama berjudul Madness Of Borneo yang sedang menjalani penggambaran di sana. Saya hanya akan bercuti selepas penggambaran filem yang diarahkan oleh Raja Mukhriz itu tamat pada lima hari sebelum sambutan Aidilfitri. Filem ini buah tangan pertama saya sebagai penerbit, jadi perlu kerja lebih keras bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!