15 Jun 2016


Satu kepala manusia ditemui di Pulau Jolo malam kelmarin, lebih lima jam selepas kumpulan militan Abu Sayyaf mendakwa telah memancung seorang tebusannya, Robert Hall yang merupakan warga Kanada.

Ketua Polis Jolo, Superintendan Junpikar Sittin berkata, kepala itu diletakkan di dalam sebuah beg plastik dan ditemui sekitar pukul 9 malam di jalan Sanchez Street berhampiran Gereja Besar Carmelite.

“Pada awalnya, anggota-anggota kami menyangka ia bahan letupan tetapi apabila unit forensik memeriksa beg plastik ini, mereka menemui kepala lelaki kulit putih,” kata Sittin dalam wawancara bersama akhbar Philippine Daily Inquirer.

“Berdasarkan maklumat, kepala ini milik Hall,” katanya.

Pihak berkuasa Filipina turut mengesahkan semalam bahawa kumpulan Abu Sayyaf telah memenggal kepala tebusan kedua warga Kanada, Robert Hall.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Hall selepas dijadikan tebusan selama sembilan bulan oleh Abu Sayyaf di Sulu,” kata jurucakap Presiden Filipina, Herminio Coloma dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, kerajaan percaya bahawa Hall telah dibunuh oleh Abu Sayyaf.

Abu Sayyaf mengugut akan membunuh tebusan itu sekiranya tidak menerima wang tebusan sebanyak 300 juta peso (RM26.5 juta) semalam.

Hall merupakan antara sekumpulan empat orang yang diculik pada September 2016 di atas sebuah kapal layar di sebuah resort pelancongan di Pulau Samal, selatan Filipina. Dia merupakan warga Kanada kedua yang dibunuh Abu Sayyaf.

“Dengan rasa dukacita saya percaya warganegara Kanada, Ro­bert Hall yang dijadikan tebusan di Filipina sejak 21 September 2015 telah dibunuh penculiknya,” kata Trudeau dalam kenyataan di stesen televisyen Kanada.

Bendera Kanada di bangunan Parlimen berkibar separuh sebagai penghormatan buat Hall.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!