Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) telah membatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) milik Rayani Air setelah melakukan siasatan penuh terhadap audit pentadbiran dan keselamatan syarikat itu.
Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, sijil AOC bernombor 54 dibatalkan setelah pihaknya mengkaji jawapan yang diberi syarikat itu terhadap satu siasatan pada 12 Mei lalu sejajar dengan Peraturan 193 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
“Pembatalan sijil AOC itu berikutan siasatan penuh yang dilakukan dalam pentadbiran syarikat itu dan audit keselamatan operasi penerbangan setelah selesai siasatan dilakukan.
“Sejajar dengan ini, Rayani Air dikehendaki memulangkan AOC itu kepada Ketua Pengarah DCA dalam masa 14 hari mulai tarikh notis pembatalan ini dikeluarkan,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar di sini semalam.