21 Jun 2016


Aktor muda yang sedang meningkat naik dan membintangi watak Chekov dalam filem baharu Star Trek, Anton Yelchin, dilaporkan maut dalam kemalangan berhampiran jalan masuk ke kediamannya di San Fernando Valley, Studio City, California, awal pagi semalam.

Channel News Asia melaporkan, berita menyedihkan itu dimaklumkan oleh ejen publisiti peribadinya, Jennifer Allen.

Jurucakap Jabatan Polis Los Angeles, Jenny Hauser berkata, ketika kejadian, Yelchin, 27, sedang bersiap sedia untuk me­nemui rakan-rakannya bagi menjalani latihan persembahan.

“Dia meninggalkan keretanya seketika sebelum kereta itu dikatakan berundur secara laju dan melanggarnya. Kejadian itu menyebabkan kepalanya terhentak pada tiang peti surat dan pintu pagar,” katanya.

Yelchin ditemukan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 1 pagi waktu tempatan di jalan masuk rumahnya oleh rakan-rakannya setelah tidak muncul untuk menjalani latihan.

Pelakon kelahiran Rusia itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam pada itu, polis mendapati kereta Yelchin berada dalam keadaan gear neutral dan enjin masih hidup ketika siasatan dijalankan di tempat kejadian.

Yelchin mula menceburi dunia lakonan ketika berusia sembilan tahun menerusi filem A Man Is Mostly Water dan merupakan seorang ahli kumpulan muzik, HammerHeads.

Berikutan berita kematian yang mengejutkan itu, ramai rakan artis serta peminat dunia seni memberikan ucapan takziah kepada Yelchin melalui laman media sosial.

Pelakon itu memegang watak Chekov dalam siri Star Trek, termasuk Star Trek pada 2009, Star Trek Into Darkness (2013) dan siri terbaru, Star Trek Beyond, yang dijangka ditayangkan pada 22 Julai ini.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!