8 Jun 2016


Segalanya bermula dengan laporan polis yang dibuat pemain dram Search, Yazit Ahmad, 54, berkenaan tuduhan pecah amanah dilakukan empat rakannya iaitu Amy, Nasir, Din dan Kid dalam pembahagian wang deposit Konsert Search 35 Tahun sebanyak RM75,000 yang tidak sampai ke tangannya.

Dakwaan ini mencetuskan kekecohan dalam kalangan peminat Search sehingga memaksa Amy, Nasir, Din dan Kid mengadakan sidang media tergempar dan menuntut Yazit menarik balik laporan itu serta meminta maaf secara terbuka kepada mereka.

Yazit bagaimanapun enggan tunduk dengan permintaan itu dan turut mengadakan sidang media bagi mempertahankan dakwaan yang dibuat. Dia mengakui tidak gentar untuk membawa kes itu ke mahkamah.

Episod seterusnya bertambah rumit apabila empat anggota Search sekali lagi mengadakan sidang akhbar dan tampil dengan kejutan apabila menamatkan kontrak kerjasama dengan penganjur konsert mereka AFJets Sdn. Bhd.

Kemelut ini mencapai kemuncaknya apabila AFJets tampil bersuara dalam satu sidang akhbar mendakwa kenyataan Search adalah fitnah. Ketua Pegawai Eksekutifnya Amrul Nizar Anuar menegaskan Search melanggar memorandum persefahaman (MoU) dan menuntut ganti rugi RM1.5 juta.

Ikuti temu bual wartawan RAP, Ridzuan Abdul Rahman (mohamadridzuan@hmetro.com.my) bersama Yazit mengenai konflik yang kian meruncing ini. Juga reaksi Yazit terhadap keprihatinan kumpulan Wings yang ingin menganjurkan konsert bagi membantunya.

RAP: Apa pandangan Yazit terhadap tindakan AFJets menyaman Search?

YAZIT: Bagi saya, AFJets ada sebab tertentu berbuat demikian. Mereka dah buat pelaburan serta promosi untuk konsert ini dan tiba-tiba Search bertindak membatalkannya pula.

Dengan apa yang berlaku, tindakan undang-undang memang wajar. Kita kena faham apabila sudah tandatangan MoU bermakna sudah ada persetujuan dan semua pihak kenalah menghormatinya.

RAP: Masalah ini berpunca daripada isu pembayaran deposit dan MoU. Apakah Yazit sengaja mencetuskannya?

YAZIT: Mereka kata saya tak faham MoU mungkin betul. Kalau tidak takkanlah nama saya tiada di dalamnya. Apa yang penting mereka kena buktikan mereka tak salah. Dalam MoU hanya tertulis empat nama. Saya hanya tahu perkara ini kemudian, kerana isu itulah juga saya ambil tindakan terhadap mereka dan melantik peguam. Sekarang peguam sedang buat kerja dan meneliti pelbagai butiran. Saya hanya menunggu tindakan lanjut daripadanya.

RAP: Benarkah dakwaan Yazit sengaja melakukan provokasi bagi mengeruhkan keadaan?

YAZIT: Saya tak berniat memprovokasi sesiapa dan ketika buat tindakan itu saya dalam keadaan waras. Saya cuma mahu tahu kenapa saya diperlakukan sedemikan rupa dan tiba-tiba reaksi yang saya terima daripada pelbagai pihak amat luar biasa.

Saya hanya bercakap jujur dan pertahankan hak serta maruah diri. Saya terbabit dalam semua album Search dan sudah banyak laburkan duit untuk kumpulan ini. Ada sebab kenapa saya sangat kecewa.

RAP: Bagaimana pula dengan dakwaan mengatakan Yazit tamak?

YAZIT: Tuduhan itu tidak masuk akal. Orang tak rasa pengalaman duit kena ambil dengan kawan baik. Kalau perompak buat begitu tak mengapa tapi ini kawan baik yang sudah lama kita kenal dan percaya. Tiba-tiba saya pula dikata sombong dan lupa diri.

Kalau ada kenyataan kata saya sombong, buktikan. Nak ungkit sejarah lama memang tak sesuai buat masa ini. Apa salahnya mereka menghubungi saya secara baik untuk selesaikan perkara ini.

Saya nak jumpa mereka untuk urusan mendaftar harta Search di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO) tapi tiba-tiba dapat tahu benda lain pula yang berlaku.

RAP: Ada perasaan simpati terhadap Search?

YAZIT: Simpati? Tak tahulah sama ada saya simpati atau tidak kerana mereka ego. Tiada komunikasi langsung antara kami sejak isu ini tercetus. Apa salahnya pada bulan baik ini kita cari jalan perdamaian. Buang ke tepi rasa ego dan jernihkan keadaan.

Namun sikap mereka sudah dijangka apabila awal-awal lagi kata duit yang diterima digunakan untuk tujuan promosi. Mereka pernah keluarkan macam-macam dakwaan kononnya saya minta sedekah sedangkan saya anjurkan ‘klinik dram’ dan orang berikan sumbangan tanpa diminta. Jadi, macam mana boleh timbul isu saya memalukan Search?

RAP: Reaksi apabila dapat tahu Wings berhasrat menganjurkan konsert bagi membantu anda?

YAZIT: Hanya orang luar nampak siapa saya. Awie dan Joe memang dah lama kenal saya. Mereka junior, tetapi saya tak pernah tolak untuk berkawan dengan mereka. Saya memang tak minta Wings bantu saya, tetapi mereka ambil inisiatif buat begini.

Saya memang sakit dan apa lagi cara untuk saya cari duit? Saya kena dapatkan rawatan dialisis tiga kali seminggu selama empat jam. Itu belum lagi jumpa doktor dan semua ini makan masa dan kos.

RAP: Apa rumusan daripada isu yang berlaku?

YAZIT: Prinsip saya bermain muzik, rezeki yang diperoleh hari ini akan disimpan untuk bulan depan dan meneruskan hidup. Saya hanya mahukan hak saya dan bukan nak susahkan sesiapa. Kalau nak cari makan dengan buat benda tak betul, buatlah.

Ada benda yang tengah saya betulkan sekarang. Tiada orang lagi yang dapat betulkan kecuali saya. Situasi sekarang, saya di tempat yang benar dan tak goyang dengan ugutan.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!