9 Jun 2016


Gara-gara risau terhadap krisis ekonomi global, seorang pesara jurutera bertindak menanam emas bernilai 850,000 pound (RM5.03 juta) di laman belakang rumah­nya yang berukuran 2.02 hektar atau bersaiz hampir empat kali padang bola dengan menggunakan penggali.

Menurut Ketua Eksekutif The Pure Gold Company, Josh Saul, individu yang hanya dikenali sebagai Ron dan mempunyai 18 anak perempuan serta cucu, membeli emas tersebut antara November 2015 sehingga April lalu, yang kemudian ditanam di 18 buah lokasi berbeza bagi setiap warisnya.

“Malah, Ron juga meminta emas itu hanya dihantar pada waktu cuaca cerah agar dia boleh menanam segera logam tersebut sejurus menerimanya,” ujar Saul.

Saul berkata, Ron yang berusia 80-an juga telah memplot koordinat dan mencipta 18 versi unik peta yang mendedahkan lokasi setiap warisnya boleh mendapatkan emas tersebut.

“Peta tersebut akan diserahkan kepada semua ahli keluarganya. Ketika ini peta tersebut ada pada peguam untuk disimpan dengan selamat,” katanya seperti lapor portal thisismoney.co.uk.

Jelas Saul, Ron membuat keputusan menyimpan emas selepas harga komoditi itu me­ningkat sebanyak 17 peratus sejak awal tahun susulan kebimbangan terhadap kemerosotan ekonomi global termasuk kesan spekulasi pengunduran Britain dari Eropah.

Ron yang bersara pada usia 65 tahun telah mengumpul sejumlah wang dalam pasaran hartanah di United Kingdom (UK) dan Jerman, namun hilang sebahagian besar wang pencennya pada krisis 1980 sebelum mengumpul semula dan rugi lagi pada tahun 2008 menerusi pelaburan Lehman Brothers.

Warga emas itu menjual semua hartanahnya tahun lalu berikutan bimbang dengan pasaran hartanah.
“Ron memutuskan untuk menanam emasnya berbanding menyimpan di bilik kebal bank,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!