28 Julai 2016


Para pemandu yang sedang memberhentikan kendera­an di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota bersebelahan pusat beli-belah Setapak Sentral, Setapak di sini hari ini dikejutkan dengan kejadian tembakan bertubi-tubi ‘ala mafia’ oleh dua daripada empat lelaki bermotosikal.

Sasaran mereka ialah seorang pemilik syarikat peminjam wang dikenali sebagai Kanna, 43, yang turut memberhentikan kereta Honda Accord yang dipandu bersendirian di lorong kanan jalan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 petang itu, mangsa yang menetap di Wangsa Maju di sini mati ditembak dengan kejam selepas terkena 10 daripada 18 das tembakan yang dilepaskan dari jarak dekat oleh dua suspek terbabit di bahagian kepala, badan dan paha.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian berdurasi 27 saat yang viral di media sosial itu, mangsa yang sedang memberhentikan kenderaannya di lorong kanan tiba-tiba didatangi empat lelaki bertopi keledar yang menaiki dua buah motosikal berwarna putih dari arah belakang.

Dua daripada suspek turun dan berlari ke bahagian kiri serta kanan kereta mangsa sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi tidak sampai 10 saat sebelum melarikan diri.

Polis sedang menyiasat dari pelbagai sudut untuk mengetahui motif kejadian termasuk dendam, perniagaan, kongsi gelap, masalah keluarga dan lain-lain.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, siasatan awal di tempat kejadian menemukan 18 butir kelongsong peluru jenis 9 milimeter yang percayai digunakan suspek.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati 12 das tembakan ter­kena pada cermin sebelah kiri kereta dan empat das tembakan pada cermin sebelah kanan.

“Penelitian rakaman CCTV mendapati suspek merupakan empat lelaki yang keturunannya tidak dapat dipastikan menaiki dua motosikal. Daripada rakaman itu juga kedua-dua penembak adalah pembonceng motosikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ujar Amar Singh, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian belum dikenal pasti.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!