15 Julai 2016


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan penubuhan satu pakatan pembangkang baharu yang akan dianggotai oleh parti-parti politik pembangkang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dr. Mahathir berkata, pakatan berkenaan akan disertai DAP, PKR, PAN serta sebuah parti baharu yang akan ditubuhkan oleh beliau dalam masa terdekat dengan matlamat utama untuk menewaskan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, pakatan tersebut belum mempunyai nama khusus kerana masih dalam peringkat perbincangan, namun semua parti yang bernaung di bawahnya akan bekerjasama dan bergerak sebagai badan ter­tinggi menyusun strategi menjelang PRU-14.

“Parti baharu yang akan ditubuhkan itu juga belum mempunyai nama khusus, pengumuman penubuhan serta kriteria keahliannya akan dibuat tidak lama lagi.

“Pakatan baharu ini bebas untuk disertai oleh mana-mana parti politik, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menentang kerajaan sedia ada,” katanya dalam sidang ak­hbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Terdahulu hari ini, Dr. Mahathir mempengerusikan mesyuarat hampir tiga jam berhubung penubuhan pakatan baharu yang turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang; bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Naib Pre­siden PKR, Tian Chua; Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Pokok Sena dari Pas, Datuk Mahfuz Omar serta beberapa lagi pemimpin pembangkang.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang disebut-sebut sebagai antara bekas pemimpin UMNO yang akan menghadiri mesyuarat tersebut tidak hadir kerana difahamkan masing-masing berada di luar negara.

Menurut Dr. Mahathir, sebarang perbezaan pendapat antara parti yang menganggotai pakatan baharu itu akan diketepikan bagi memastikan matlamat utama untuk menewaskan BN dalam PRU-14 akan datang tercapai dan membentuk kerajaan baharu untuk negara ini.

Dalam pada itu, mengulas sama ada beliau akan bertan­ding dalam PRU-14 nanti, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, sebaliknya, akan memainkan peranan untuk membantu pakatan baharu menewaskan BN.

Ketika ditanya pemberita mengenai ketiadaan penglibatan Pas dalam pakatan pembangkang baharu itu, Dr. Mahathir berkata: “Pas tidak menyertai pakatan baharu tetapi pemim­pinnya ada turut serta.”

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!