29 Julai 2016


Bola sepak tempatan bakal mendapat ketua baharu apabila Tengku Abdullah semalam memberi bayangan akan melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan berkata beliau ‘dalam proses keluar’ daripada badan induk itu.

Tengku Abdullah yang memegang jawatan Presiden FAM sejak dua tahun lalu menegaskan beliau sudah tidak mempunyai urusan dengan badan induk bola sepak negara itu yang dilanda pelbagai kontroversi sejak kebelakangan ini.

Ketika ditanya mengenai butiran perbincangannya dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kelmarin, beliau enggan mengulas lanjut sebaliknya meminta pihak media bertanyakan soalan kepada Khairy.

“Tanya dia (Khairy). Tanya dia. Tidak (enggan memberitahu). Itu sahaja persefahaman (dengan Khairy). Minta maaf.

“Terpulang kepada sesiapa yang mahu selesaikannya, saya sudah tiada urusan (dalam FAM). Kamu (wartawan) tahu. Saya dalam proses keluar atau dalam Bahasa Inggeris on my way out,” katanya kepada pemberita di sebuah hotel di ibu negara semalam.

FAM dihujani kritikan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sepanjang dua minggu ini, iaitu sejak empat tonggak skuad kebangsaan Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal, yang kesemuanya merupakan pemain Harimau Selatan, mengumumkan persaraan dari perlawanan antarabangsa.

Tunku Mahkota Johor itu juga membangkitkan beberapa isu yang melanda bola sepak negara dan FAM selain berkata menyimpan pendrive yang didakwanya mengandungi pelbagai maklumat mengenai ketirisan dan salah laku dalam badan induk bola sepak negara itu.

Rentetan daripada itu Khairy memulakan langkah untuk menyelesaikan perkara tersebut dan telah mengadakan pertemuan dengan Tunku Ismail di Johor Bahru dan kelmarin bertemu dengan Tengku Abdullah di Kuala Lumpur.

FAM, yang diwakili bendaharinya Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria juga telah menemui Tunku Ismail semalam untuk memberi penerangan berkaitan keadaan pengurusan kewangan selain memberitahu FAM bersedia menerima sebarang pandangan dan pendapat daripada beliau.

Bagaimanapun, TMJ dalam temubualnya dengan akaun Facebook Johor Southern Tigers (JST) berkata, beliau telah diberi taklimat mengenai laporan kewangan FAM dan menegaskan sekali lagi bahawa banyak perkara yang perlu diperbetulkan oleh badan induk itu.

Hasrat Tengku Abdullah untuk melepaskan jawatan presiden FAM telah dinyatakannya pada 7 September tahun lalu setelah kecewa dan sedih dengan kekalahan besar 10-0 skuad kebangsaan kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi.

Surat peletakan jawatannya telah dihantar kepada barisan Exco FAM, selain akan menyerahkan tugas menerajui FAM secara berperingkat kepada timbalannya Datuk Seri Afandi Hamzah. Namun, Jawatankuasa Eksekutif FAM sebulat suara memutuskan menolak hasrat tersebut pada Februari kerana khidmat Tengku Abdullah masih diperlukan.

Tengku Abdullah menjadi presiden FAM selepas meraih 27 undi berbanding 12 yang diperoleh pencabarnya Tunku Ismail, yang ketika itu memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), dalam pengundian sempena Kongres FAM ke-50.

Beliau mengambil alih pucuk pimpinan FAM daripada ayahandanya Sultan Ahmad Shah, yang melepaskan jawatan selepas memimpin FAM selama 30 tahun.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!