26 Julai 2016


Calon Presiden Parti Republikan, Donald Trump, pernah bercerita mengenai kerugian terbesarnya pada 1997 menerusi buku bertajuk The Art of The Comeback, apabila beliau hampir muflis dan terpaksa merayu berpuluh-puluh bank untuk mengubah syarat pinjaman dan melupuskan sebahagian hutangnya pada 1990. 

Sekalipun menggelar dirinya berjaya bangkit semula daripada masalah itu, enam orang yang terbabit dalam proses rundingan semula pinjaman itu tidak setuju dengan ceritanya. 

Semua ini ketika Trump berkempen untuk menjadi Presiden baharu Amerika Syarikat (AS) apabila rakyat AS mengundi dalam pilihan raya presiden pada 8 November depan. Trump berkata, nasibnya mula berubah ketika dia mengesan penurunan dalam pasaran hartanah dan segera meminta bank untuk berunding semula pinjamannya. 

'Keputusan saya itu adalah langkah yang paling bijak,' katanya dalam buku itu. Tetapi, enam peguam dan pegawai bank dalam rundingan itu berkata, rundingan semula syarat pinjaman adalah berdasarkan apa yang terbaik untuk bank bukannya Trump. Jurucakap Trump, Hope Hicks enggan mengulasnya. 

Selepas kejatuhan bursa saham AS pada 1987, kemelesetan ekonomi dunia menjejaskan sektor hartanah New York. Ia menyebabkan projek pembinaan baharu terhenti dan beberapa syarikat pembinaan besar mengisytihar bankrap. 

Trump pula ketiadaan wang. Pada awal 1990, beliau terhutang AS$4 bilion (RM16.19 bilion) kepada 72 bank dengan jaminan aset peribadinya bernilai AS$800 juta (RM3.23 bilion), kata Alan Pomerantz, peguam yang mengetuai rundingan antara Trump dan bank untuk menstruktur semula pinjaman Trump. 

Pomerantz diupah oleh Citibank tetapi kemudian menjadi ketua perundingan. Perceraian dapat liputan luas Pada masa itu, Trump tidak dianggap pengusaha besar tetapi selebriti New York. Hubungan sulitnya dengan aktres Marla Maples dan perceraiannya dengan isteri pertama, Ivana diberi liputan meluas, manakala buku pertamanya The Art of the Deal, laris. 

Beliau tidak memiliki kawasan hartanah besar di New York kecuali bangunan 5th Avenue, Menara Trump yang siap pada 1983 dan Hotel Plaza yang dibeli pada 1988 selepas membuat pinjaman besar sekali lagi daripada Citibank. Beliau juga memiliki tiga kasino di Atlantic City. 

Kemudian, beliau sekali lagi buat pinjaman untuk membiayai pembelian syarikat bankrap, meletakkan Eastern Airlines Shuttle sebelum menggelarnya 'Trump Shuttle.' Pada 1989, berikutan kebimbangan ekonomi akan alami kemelesetan, Rizab Persekutuan AS mula meminta bank utama mengkaji semula keadaan kewangan berikutan kejatuhan sektor hartanah. 

Kemudian, pada awal 1990, seorang pakar pinjaman memutuskan bahawa Trump semakin hampir muflis. Pomerantz berkata, ada bank sedar dengan keadaan Trump apabila dalam tempoh sehari beliau mengeluarkan keseluruhan kredit AS$100 juta (RM404.5 juta) dari Banker's Trust yang dibeli Deutsche Bank pada 1999, untuk membayar hutangnya. 

Reuters tidak dapat mengesahkannya menggunakan sumber bebas. Pomerantz yang berkata dia bukan anggota mana-mana parti politik, menyatakan pandangannya kepada Wall Street Journal bahawa rekod Trump dalam bidang hartanah bukan cara terbaik untuk menilai sama ada beliau akan menjadi presiden yang berwibawa. 

Trump berkata, beliau mula mengadakan rundingan pindaan semula syarat pinjamannya pada Mac 1990 apabila memberitahu bank mengenai kemungkinan tak dapat membayar hutang kasinonya. Trump perlu membayar baki hutangnya yang bernilai berbilion-bilion. 

Pun begitu, seorang pegawai bank terbabit dalam rundingan, Ben Berzin, berkata Trump seperti tidak sedar seriusnya keadaan kewangannya sekalipun selepas bank campur tangan. "Pada satu ketika semasa rundingan, dia masih berbelanja seperti orang mabuk," kata Berzin, merujuk kepada aksi Trump menunjukkan cincin berlian untuk Maples berharga AS$250,000 (RM1.011 juta) dan pegawai bank menegurnya dalam mesyuarat selepas itu. 

Malah, Trump menjemput semua perunding ke persembahan Broadway yang mana Maples terbabit. Trump dipercayai cuba dapat syarat baharu pinjaman lebih baik. Hanya Berzin hadir. Dalam bukunya, Trump memberitahu wakil 72 bank bahawa beliau akan diisytihar muflis kecuali mereka memberinya AS$65 juta (RM263 juta) hingga sektor hartanah pulih, selain menangguhkan bayaran sehingga saat itu. 

Pegawai bank dan peguam yang ditemui, menolaknya, meskipun memang benar kemuflisan akan menyukarkan bank mengutip hutang Trump. Pada masa sama, Trump juga akan terjejas kerana akan hilang semua asetnya. 

Bank setuju lupus liabiliti peribadi Trump Bank terbabit memutuskan, mereka boleh dapat semula sebahagian besar daripada lebih AS$4 bilion jika dapat jual pemilikan Trump satu persatu dan tidak perlu tunggu sehingga sektor hartanah pulih. 

Mereka berkata, bank terbabit bersetuju melupuskan liabiliti peribadi Trump sebagai tukaran kepada bantuannya menjual hartanah miliknya di mana hasilnya diagihkan antara institusi kewangan berkenaan. Trump bersetuju bahawa bank berkenaan boleh merampas semua hartanahnya termasuk Mar-a-Lago di Florida jika beliau gagal memenuhi syarat rundingan. 

"Kami perlu pastikan beliau akan beri kerjasama penuh. Kami akan menemuinya setiap pagi Jumaat. Tindak tanduknya berada di bawah pemantauan rapat bank," kata Pomerantz. Trump kemudian bekerjasama untuk menjual asetnya sekalipun tidak bersetuju dengan tempoh jualan hartanah tertentu termasuk apabila Citibank menjual The Plaza. 

Pada penghujungnya, bank terbabit juga masih tidak mendapat sepenuhnya hutang mereka dan ada di kalangan institusi berkenaan berikrar untuk tidak lagi berurusan dengan Trump.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!