Brooklyn, anak sulung kepada pemain bola sepak England, David Beckham dan penyanyi, Victoria membuktikan dia juga mampu meraih pendapatan tinggi hasil usahanya sendiri apabila muncul sebagai model iklan telefon pintar melalui kontrak bernilai 100,000 pound (RM521,000).
Brooklyn, 17, berkongsi video pengalaman itu kepada 8.2 juta pengikutnya di Instagram selepas menjalani penggambaran iklan Honor 8, telefon pintar terbaharu keluaran Huawei milik syarikat dari China.
“Saya melalui pengalaman yang menyeronokkan dalam penggambaran iklan dengan @honorglobal untuk #honor8. Tonton versi sepenuhnya di Honor Global Youtube’,” jelasnya.
Iklan ringkas yang dirakam sebelum dia mewarnakan rambutnya dengan warna perang, menunjukkan Brooklyn bermain papan luncur dan mengambil gambar menggunakan telefon pintar itu sebelum memuat naik gambar berkenaan di media sosial.
Dia juga turut mengungkapkan ‘Saya Brooklyn berusia 17 tahun. Saya membawa kamera setiap hari untuk mengambil gambar, tetapi jika saya mahu melakukannya dengan pantas, saya hanya perlu keluarkan telefon dan terus merakamkannya.’’
Menurut laporan Daily Mirror, Scarlett Johansson dan Karlie Kloss juga pernah menjadi model untuk Huawei.
Sebelum ini sumber keluarga selebriti itu memberitahu akhbar The Sun, Huawei memilih Brooklyn kerana dia muda, segak dan dilihat sebagai contoh terbaik untuk remaja lain.
“Dia mempunyai berjuta-juta pengikut dalam media sosial dan ini merupakan cara terbaik untuk berhubung dengan remaja.
“Masyarakat mungkin akan berfikir Brooklyn mendapat tawaran ini kerana ibu bapanya yang kaya tetapi dia tidak ambil mudah apa juga perkara,’’ kata sumber tersebut.