5 Ogos 2016


Berkahwin awal dan melahirkan cahaya mata pada usia muda dapat mengurangkan risiko kanser payudara yang menjadi antara penyebab utama kematian dalam kalangan wanita Malaysia.

Pengerusi Yayasan Pink Ribbon Wellness (L), Datuk Dr M Devanand berkata, wanita yang mendapat zuriat pada usia muda lebih rendah risiko mendapat kanser payudara atau mencegah kebarangkalian berlaku kanser.

"Bila wanita melahirkan anak dan melakukan penyusuan badan, secara tidak langsung kandungan sel dalaman pada payudara mereka akan menjadi matang dan kurang terdedah kepada kanser.

"Wanita yang melahirkan anak pada usia muda, umpamanya dalam 20-an mempunyai risiko rendah untuk mendapat kanser payudara berbanding wanita mendapat zuriat pertama pada umur lanjut, contohnya selepas 30-an," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Kempen Kesihatan Payudara dan Kesejahteraan Komuniti anjuran bersama Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Perlis dan Persatuan Kumpulan Sokongan Kanser Negeri Perlis (Perken) di sini, hari ini.

Dr Devanand juga berkata, wanita obesiti mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap kanser, namun wanita bukan obesiti juga boleh terdedah kepada kanser jika sistem imunisasi badan lemah.

“Pemakanan memainkan peranan penting kerana makanan yang tinggi lemak boleh mengaktifkan sel untuk menjadi kanser,” katanya.

Beliau meminta wanita khasnya yang belum berkahwin pada usia muda dan yang datang haid pada usia awal agar melakukan pemeriksaan peribadi payudara secara berkala bagi langkah pengesanan awal.

"Sekiranya ada kelainan pada bentuk atau terasa ketulan pada payudara, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut, ketepikan perasaan malu kerana diagnosis awal boleh mengurangkan risiko kematian," katanya,
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!