Sebatang pokok pain berusia kira-kira 1,075 tahun yang dinamakan Adonis di Greece, dinamakan sebagai pokok tertua di Eropah.
Menurut saintis, pokok berkenaan ditanam sebelum Perang Hastings di kawasan pergunungan Pindos di utara Greece pada 941 tahun Masihi.
Adonis tumbuh ketika zaman kegemilangan empayar Byzantin.
Semasa pokok itu berusia 250 tahun, Universiti Oxford baru ditubuhkan dan 500 tahun kemudian, Isaac Newton menghasilkan hukum gerakan.
Menurut laporan Mail Online, pokok berkenaan dijumpai oleh saintis di Universiti Stockholm dan Universiti Mainz dalam ekspedisi yang diketuai oleh pakar dendrokronologi, Dr. Paul Krusic.
Dr. Krusic berkata, amat mengagumkan pokok berkenaan mampu hidup dalam suasana yang tidak sesuai di kawasan yang telah dibangunkan sejak 3,000 tahun yang lalu.
Adonis merupakan antara berpuluh-puluh pokok berusia ribuan tahun yang ditemukan dalam hutan di kawasan pergunungan tersebut.
“Beberapa tahun lalu saya membaca sebuah tesis tentang kawasan hutan Pindos yang amat menarik.
“Kami turut mengkaji semula keadaan cuaca di situ pada zaman lalu. Penemuan pokok-pokok yang berusia ribuan tahun ini menjadi pendorong kepada usaha kami,’’ kata Krusic.
Teras pokok tersebut berukuran satu meter dan mempunyai 1,075 lingkaran.
Krusic juga kagum hutan berkenaan tidak disentuh lebih seribu tahun walaupun melalui peradaban barat, pelbagai sejarah manusia, empayar Byzantin dan Uthmaniyyah.