5 Ogos 2016


Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini berterus-terang tentang kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) akan diadakan jika keadaan terus memaksanya dan sebagai jalan terakhir bagi menyelesaikan kemelut politik berpanjangan.

Beliau menegaskan, Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah bersedia menghadapinya, walaupun sedaya upaya akan berusaha mengelak kerana merugikan masa, menelan belanja yang besar dan menyusahkan rakyat.

“Apabila buat pilihan raya umum selain untuk kerusi Parlimen, kena buat sekali lagi untuk kerusi negeri, bermakna Terengganu kena buat dua kali (pilihan raya). Ini akan merugikan rakyat dengan keadaan kewangan sekarang atau kegawatan ekonomi.

“Tapi kalau keadaan memaksa, kerajaan negeri bersiap sedia hadapi sebarang kemungkinan. Kita beri jaminan, Badan Perhubungan UMNO negeri sentiasa siap sedia menghadapinya demi rakyat,” katanya.

Ahmad Razif berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), di sini hari ini.

Yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jakarta, Indonesia semalam mengenai kebarangkalian PRN Terengganu akan diadakan berikutan kemelut politik yang sedang melanda negeri itu.

Sesetengah pihak kini membayangkan sidang Dewan Undangan Negeri yang bakal berlangsung pada 8 Ogos ini akan menjadi penentu kepada masa depan Ahmad Razif dan kerajaan BN sekiranya bekas Menteri Besar, Ahmad Said yang mahu menyingkirkan penggantinya dan bertindak meninggalkan parti.

Keadaan itu kelak akan menyebabkan kerusi BN dan pembangkang menjadi seimbang (16-16) sehingga meletakkan keadaan tidak menentu.

Ahmad Said bagaimanapun dilaporkan tidak menyatakan langkah susulan yang diambil setelah tiada notis dihantar kepada pihak Dewan untuk sekali lagi mengemukakan usul tidak percaya ter­hadap Ahmad Razif setelah cubaan pertamanya ditolak.

Pada masa sama, Ahmad Razif berkata, buat masa ini kerajaan negeri bersungguh-sungguh akan mempertahankan kerajaan sedia ada sehinggalah pilihan raya umum akan datang.

Ditanya sama ada beliau yakin kerajaan BN mampu mengekalkan pemerintahan di Terengganu sekiranya PRN diadakan di negeri itu, Ahmad Razif berkata, BN tiada masalah untuk menang dalam pilihan raya tersebut nanti.

Jelas beliau, ia berdasarkan kejayaan BN memenangi PRN Sarawak dan dua lagi pilihan raya kecil iaitu bagi Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!