Dibunuh dan dibuang ke dalam gaung.
Itu nasib Noor Amila Edrus Norsham, 5, yang mayatnya ditemukan berhampiran Pusat Rekreasi Air Terjun Kemensah, Hulu Kelang, dekat sini kira-kira pukul 2 petang.
Lebih menyayat hati, mayat kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak 11 Ogos lalu itu ditemukan dalam keadaan tangan dan kakinya berikat serta kepalanya terputus daripada badan.
Polis yang melakukan usaha mencari berjaya menemukan kepala mangsa berhampiran lokasi badannya dijumpai.
Difahamkan, lokasi penemuan mayat mangsa yang terletak kira-kira empat kilometer dari Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) itu ditunjukkan sendiri oleh abang ipar tiri mangsa yang ditahan semalam selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan anak kelapan daripada sembilan beradik itu.
Mayat tersebut dibawa keluar dari lokasi itu kira-kira pukul 5 petang sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses pengecaman mayat dan bedah siasat.
Polis yang menyiasat motif pembunuhan mangsa akan melihat dari segala sudut termasuk perselisihan faham, dendam, masalah hutang, dadah dan sebagainya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Azman Mohd. Isa berkata, kehilangan mangsa terjawab hasil soal siasat terhadap suspek berusia 26 tahun yang ditahan di Sentul, di sini semalam.
“Hasil soal siasat, suspek membawa kita ke lokasi kejadian sebelum mayat kanak-kanak terbabit ditemukan. Pencarian di lokasi terbabit telah dilakukan sejak malam tadi namun gagal kerana keadaan gelap dan hari ini kita teruskan mencari di lokasi sama.
“Kemungkinan mayat ini adalah kanak-kanak yang hilang minggu lalu adalah besar namun kami masih menunggu sehingga bedah siasat selesai dilakukan. Mayat itu ditemukan terpisah daripada kepalanya yang ditemukan berdekatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 11 Ogos lalu, akhbar melaporkan kehilangan Noor Amila Edrus kira-kira pukul 7.20 malam selepas kanak-kanak itu dikatakan berjalan sendirian ke surau yang terletak kira-kira 20 meter dari rumahnya di Perumahan Jinjang Utara, Kepong, dekat sini.
Ditanya sama ada kanak-kanak terbabit telah didera sebelum dibunuh, Azman memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.
“Mayat sudah berwarna hitam ketika ditemukan, kaki dan tangan mangsa juga telah diikat.
“Sehubungan itu, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kita sedang menunggu hasil bedah siasat untuk mendapat punca kematian,” ujarnya.
Sementara itu, suasana sedih menyelubungi Makmal Forensik HKL apabila mayat mangsa tiba kira-kira pukul 5.15 petang.
Lebih pilu apabila ibu mangsa, Siti Nursharmila Tengku Hanafiah, 46, rebah selepas mendapati pakaian yang dipakai mayat adalah milik anaknya.