17 Ogos 2016


"Bangga dan gembira. Bagi meraikan kemaraan pasangan beregu negara mara ke pentas final di Olimpik Rio, kami akan menyediakan skrin gergasi bagi membolehkan semua penduduk Kampung Kundang Ulu bersama-sama menyaksikannya," kata Tan Kin Keang, 50. 

Kin Keang yang juga bapa saudara pemain badminton negara Tan Wee Kiong berkata, inisiatif itu adalah sebagai tanda kesyukuran selepas Wee Kiong bersama pasangannya, Goh V Shem mara ke perlawanan akhir selepas mengenepikan cabaran beregu China dalam saingan separuh akhir. 

"Saya tak tahu nak cakap apa. Bangga dan gembira atas kejayaan yang dicapai oleh Wee Kiong dan dia memang berhak mendapatkannya atas segala usaha yang dilakukannya sebelum ini. 

"Saya sudah berniat untuk menyediakan skrin gergasi dan mengajak semua penduduk di sini untuk turut sama menyaksikan perlawanan akhir itu yang akan menjadi penentuan pingat emas atau perak pada 19 Ogos ini," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Kundang Ulu di sini, malam ini. 

Sementara itu, sepupu Tan Wei Hao, 29, berkata dia sememangnya bangga dengan pencapaian Wee Kiong dan berharap kemenangan itu dapat membakar semangatnya untuk meraih pingat emas kelak. 

Katanya, dia dan keluarga sememangnya sentiasa mengikuti perkembangan dan perlawanan Wee Kiong meskipun jarang berjumpa berikutan jadual pemain itu yang terlalu padat. 

"Ketika di sekolah rendah dahulu iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Yu, Kundang Ulu, saya adalah pasangan beregu Wee Kiong sebelum saya memutuskan untuk memberi fokus terhadap pelajaran, manakala dia melanjutkan pelajaran Tingkatan Satu di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). 

"Ketika itu juga, keluarganya yang memang berasal dari Kundang Ulu terpaksa berpindah ke Tawau, Sabah kerana urusan perniagaan," katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!