Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan dakwaan yang mengaitkan namanya sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam isu menandatangani surat penahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Beliau yang mengakui tidak mengetahui tentang perkara tersebut turut menyatakan tidak pernah mendengar mengenainya.
Sebaliknya beliau yakin Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid iaitu anak kepada bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob lebih mengetahui berhubung dakwaan itu.
“Saya tidak tahu pasal itu. Saya tidak pernah dengar. Ini baharu. Dulu saya tak tahulah, mungkin dia tahu lebih daripada saya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bertajuk Persekutuan dan Negeri-Negeri: Hubungan Negeri Persekutuan di Malaysia pada majlis Wacana ke-20 Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.
Megat Fairouz yang merupakan anak sulung kepada Megat Junid semalam, meminta Dr. Mahathir berhenti mendakwa arwah bapanya sebagai individu yang bertanggungjawab menandatangani perintah tahanan ISA sepanjang 11 tahun menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Perkara itu timbul berikutan baru-baru ini beberapa blog menyiarkan kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang mendakwa tindakan penahanan ISA bukan dilakukan olehnya tetapi oleh Megat Junid.
Mengenai cadangan untuk melantik bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua pembangkang seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang, kata Dr. Mahathir, tiada sebarang keputusan berhubung perkara itu.
“Kita belum tentu siapa akan menjadi ketua pembangkang. Ini adalah badan pengasas sahaja, selepas itu akan diadakan mesyuarat agung parti dan masa itu pilihlah sesiapa pun,” katanya.
Mengenai Pas enggan bergabung bersama parti Pribumi Bersatu Malaysia, katanya, sikap itu menunjukkan mereka menyokong pemerintahan Barisan Nasional (BN).
“Kalau dia tak terima dan pakatan pembangkang melawan sesama sendiri, mereka akan kalah,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu memberitahu, rakyat tidak boleh memberi penekanan terhadap semangat ‘bangsa negeri’ atau kenegerian kerana ia boleh meruntuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat negara ini.
“Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan pemisahan. Kita patut gelar diri kita sebagai rakyat Malaysia, bukan warganegara Johor, Kedah dan sebagainya kerana ia boleh memecah-belahkan perpaduan.
“Saya tidak ingin melihat ia berlebih-lebihan. Kita semua sama, tiada siapa yang lebih tinggi kedudukannya daripada orang lain, kita semua rakyat Malaysia,” katanya.