16 Ogos 2016


KATA orang, keruh air di hulu, keruhlah air di hilir. Adakah ‘kese­rabutan’ yang cuba dicetuskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadikan senario politik tanah air hari ini tidak menentu?

Dikatakan cuma seorang Perdana Menteri yang tidak ‘diganggu’ oleh Dr. Mahathir iaitu Tun Razak. Perdana Menteri Malaysia lainnya semuanya ‘diganggu’ beliau.

Dulu Dr. Mahathir berseteru dengan dua orang bekas Perdana Menteri sekali gus pada 1987 (Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn).

Apabila muncul Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah), tidak wujud pula keserasian dengan Dr. Mahathir yang mengecam kepemimpinan Pak Lah. Dr. Mahathir yang pilih Pak Lah, tetapi Pak Lah diganggunya.

Kemudian, Pak Lah digantikan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak. Pun sama juga Najib menjadi ‘mangsanya’ sehingga saat ini.

Benar! Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Dr. Mahathir serta Pak Lah, semuanya berjasa kepada orang Melayu dan negara. Tetapi mengenang jasa itu biarlah bertempat dan kena pada orangnya serta tepat pada sasaran di mana jasa itu dikenang. Tidak boleh sekadar mengenang jasa kepada mereka yang tiba-tiba pula mahu membinasakan perjuangan parti dan orang Melayu.

Najib mempunyai sebab untuk terasa hati dengan apa yang diperlakukan Dr. Mahathir ke atasnya.

Mungkin ada yang berfikiran elok dibiarkan sahaja apa mereka hendak kata. Tetapi bagaimana dengan maruah negara dan Perdana Menteri?

UMNO adalah parti politik terbesar di negara ini. Apa juga dasar yang ditetapkan oleh UMNO memberikan impak kepada seluruh warga Malaysia, malah mendapat perhatian dari negara-negara jiran dan juga dunia antarabangsa.

Melayu, UMNO dan Islam di negara ini tidak dapat dipisahkan. Ia satu cantuman yang telah membina satu budaya-satu bangsa-satu identiti.

Tentang taat setia kepada pucuk pimpinan, jangan apabila di depan disuruh angguk, angguk. Disuruh geleng, geleng. Tapi di belakang tikam dari belakang. Bak kata pepatah, janganlah te­lunjuk sahaja lurus tetapi kelingking berkait.

Mahu tidak mahu UMNO harus memahami dan menghayati faktor-faktor yang menjadi game changer atau peneraju cara gaya baharu kepada lanskap politik nasional.

Suka tidak suka, UMNO harus menguasai media baru kerana hari ini, detik ini, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan. Orang UMNO wajib mengetahui cara-cara untuk memanfaatkan media baru demi survival parti.

Kira-kira 500 tahun yang lalu, jatuh empayar Melaka. Ia jatuh bukan kerana Melayu kurang hulubalang atau kependekarannya. Ia rebah bukan kerana kemiskinan atau kefakiran. Ia tersungkur menyembah bumi kerana terlerainya perpaduan dan berlakunya pengkhianatan.

Begitu juga nasib tamadun-tamadun besar di dunia yang hancur, mereput dan runtuh. China, terhina akibat siri perang candu, Empayar Rom dirobek perpecahan dari dalam dan Khi­lafah Othmanniyah punah dek kerana kehalusan strategi pecah belah dan perintah.

Jadikan kisah-kisah ini sebagai teladan dan sempadan. Ja­ngan sekali-kali kita terperangkap olehnya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!