23 Ogos 2016


ADAKAH Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi), Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu bikin parti-parti yang bersekutu dalam pakatan pembangkang ‘naik darah’ dan tambah berkecamuk?

Sengajakah Muhyiddin mahu ‘menguji’ pakatan itu apabila membangkitkan soal Pribumi ma­hu ‘mengambil’ kerusi-kerusi tra­disi PKR dan blok ketiga, Pas untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)?

Apa agaknya yang mahu dirundingkan bagi parti ‘baru setahun jagung’ seperti Pribumi yang andai kata dipersetujui sertai pakatan, terus mahu tunjuk hero ‘merampas’ kawasan DUN dan Parlimen parti-parti pembangkang yang otai.

Andai Muhyiddin berkeras, mam­pukah DAP, PKR dan PAN memenuhi kehendak beliau dan pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad?

Mungkin penyediaan kerusi pilihan raya untuk ditandingi Muhyiddin, Dr. Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz tidak menjadi masalah buat pakatan.

Tetapi mereka yang lain dalam Pribumi yang memasang angan-angan tinggi menjadi ca­lon, bagaimana?

Andai kata tiada kesepakatan dalam pengagihan kerusi, adakah Pribumi akan bergerak secara solo? Mampukah ‘berdikari’ tanpa pakatan pembangkang berdepan Barisan Nasional?

Hakikatnya akibat perebutan kerusi sesama sendiri dalam pakatan inilah yang mengakibatkan pembangkang terima natijahnya.

Pilihan raya negeri Sarawak Mei lalu menyaksikan sembilan daripada 13 calon PAN hilang wang pertaruhan dan tujuh daripada 11 calon Pas hilang wang deposit mereka.

PKR dan DAP pula bertembung sesama sendiri di enam ke­rusi menyebabkan DAP dan PKR tewas kepada BN di semua kawasan bertindih itu.

Di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak, akibat bertelingkah, PAN dan Pas bersaing sesama sendiri menentang BN, sehingga kalah teruk dengan jumlah undi kira-kira 9,000 undi dan 7,000 undi.

Lebih teruk lagi, DAP telah membuat persediaan PRU akan datang untuk bertanding di lapan kerusi DUN yang dimenangi Pas pada PRU-13.

Kerusi-kerusi itu adalah DUN Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Seri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjong Sepat.

Bersediakah Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAN, Mohamad Sabu beri ruang kepada Pribumi? Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apa pula katanya?

Mahukah jatuh dua kali dalam lubang sama?

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!