16 Ogos 2016


Perjuangan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir da­lam arena politik negara hanyalah untuk mencapai cita-cita beliau menjadi Perdana Menteri secara pantas.

Lebih daripada itu, bekas pegawai khas politiknya, Haris Che Mat mendakwa, tindakan bapa Mukhriz, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak juga merupakan sebahagian daripada perancangan untuk menjadikan Mukhriz sebagai Perdana Menteri.

“Mahathir mahu jatuhkan Na­jib dan menaikkan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muh­yiddin akan menjadi Perdana Menteri untuk sementara sahaja sementara menanti masa Mukhriz memenangi pemilihan menjadi Timbalan Presiden UMNO pada 2018,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau yang juga anggota jentera kempen Mukhriz ketika bertanding jawatan Naib Presiden UMNO 2013 memberitahu, Mukhriz pada awalnya dicadangkan untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi sahaja kerana beliau kalah dalam pertandingan Ketua Pemuda pada 2009.

Katanya, selain itu, Perdana Menteri turut dipersalahkan ekoran kekalahan Mukhriz bagi merebut jawatan itu.

“Ada pihak tertentu didakwa memulakan perancangan untuk mensabotaj tawaran awam permulaan (IPO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada awal 2014 supaya syarikat itu bermasalah. Dan isu itu kemudiannya akan digunakan untuk menjatuhkan Najib,” katanya.

Jelasnya, terdapat juga ura-ura mengatakan jika Mukhriz menang jawatan Naib Presiden UMNO pada 2013, Dr. Mahathir akan menyuruh Muhyiddin meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada anaknya itu.

“Saya tidak lagi mengikut Mukhriz kerana perjuangan saya demi agama, bangsa dan tanah air. Parti Pribumi Bersatu Malaysia hanyalah satu platform bagi perjuangan cita-cita politik Mukhriz untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, pendedahan itu dibuat kerana Mukhriz ketika ini dilihat sudah mula ‘mengganggu’ UMNO yang secara jelas memperjuangkan hak agama, bangsa dan negara.

“Ini bukan suruhan daripada mana-mana pihak atau disebabkan ‘dedak’ sebaliknya kehendak saya sendiri. Kalau ada yang lari daripada perjuangan, saya berani bercakap.

“Apabila perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara menjadi teras, insya-Allah jadi mudah segalanya tanpa rasa was-was. Tetapi kalau fikir benda lain yang mampu mengganggu-gugat kita, itu terserah kepada Allah,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!