16 Ogos 2016


"Kami bekerja sambilan sebagai pemotong rumput kerana mahu menambah duit poket untuk keperluan pengajian dan perbelanjaan diri. "Ia sama sekali bukan disebabkan kemiskinan sampai tiada duit makan atau tidak dibantu universiti," tegas pelajar Tahun Dua Ijazah Sarjana Muda Perkhidmatan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Naqiuddin Afiq Hapie Hazli, 21. 

Kisah Muhammad Naqiuddin Afiq bersama dua rakannya dari universiti berkenaan iaitu pelajar Tahun Satu Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian, Muhammad Ariff Abdul Razak, 20, dan Mohamad Suhaimi Che Darus, 20 (pelajar Tahun Satu Ijazah Sarjana Muda Ekonomi) yang bekerja sebagai pemotong rumput sejak bulan lalu, kini menjadi viral di media sosial. 

Ia berikutan kandungan WhatsApp dihantar tiga sahabat itu untuk mempromosi perkhidmatan disalah tafsir, malah diubah pihak tertentu sehingga menggambarkan seolah-olah mereka 'miskin tegar'. Lebih mengecewakan apabila keadaan itu memberi imej buruk kepada UPM kerana didakwa tidak prihatin dalam membantu aspek kewangan pelajar susah. 

Muhammad Naqiuddin Afiq berkata, idea memulakan perkhidmatan berkenaan tercetus ketika dia dan dua rakannya itu yang menginap di kolej kediaman sama terlihat rumput di sekitar kawasan ketika duduk berbual santai. 

"Berkongsi modal RM550, kami bertiga membeli mesin dan menggunakan motosikal sendiri sebagai pengangkutan untuk memulakan perniagaan," katanya ketika ditemui di UPM, di sini, pada Isnin. 

Muhammad Naqiuddin berkata, biarpun mereka memerlukan wang tambahan untuk pengajian dan sedia maklum UPM ada menyediakan bantuan dana, mereka tidak memohonnya kerana mampu bekerja, malah sedar ramai pelajar yang lebih susah. 

Berkongsi kerja dilakukan, dia berkata, mereka menawarkan perkhidmatan pemotongan rumput pada masa terluang atau cuti semester di Bangi, Kajang, Cheras, Semenyih dan Seri Kembangan dengan pulangan pendapatan mingguan kira-kira RM600 hingga RM700. 

Mengulas perkara sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata universiti mempunyai bantuan kewangan, termasuk dana kebajikan dan zakat kepada pelajar daripada latar belakang keluarga susah. 

"Bagaimanapun bagi pelajar yang berminat bekerja secara sambilan, UPM menyokong dengan syarat selepas waktu kelas, tidak memberi imej buruk dan jangan menjejaskan prestasi akademik. "Aspek keusahawanan yang diterapkan dalam kerja sambilan membantu mereka memperoleh pelbagai kemahiran tambahan, sekali gus melahirkan seorang graduan serba boleh diperlukan majikan," katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!