26 Ogos 2016


“APALAH yang hendak disibukkan sangat dengan perempuan yang tidak kahwin-kahwin? Banyak lagi masalah besar dalam dunia ini. Lelaki bujang tua pun ramai. Yang itu, tiada pula yang hendak bincang sampai masuk Dewan Undangan Negeri dan tolong carikan isteri?”

Itu kata seorang kawan ketika kami minum teh di sebuah restoran mamak di Shah Alam, baru-baru ini. Bergegar sedikit meja kami, apabila jari-jarinya mengetuk dengan kuat laporan akhbar mengenai isu ‘anak dara emas’ yang merujuk kepada golongan profesional yang belum berkahwin.

Sebenarnya, ini adalah isu lama, tiada baharunya, yang sudah berulang-ulang kali pun diketengahkan dan terdapat kajian sebelum ini yang menunjukkan lebih 70 peratus wanita berkerjaya profesional di negara ini belum berkahwin. Mereka ini terdiri dalam kalangan doktor, jurutera, akauntan dan peguam.

Justeru ada yang menyarankan agar semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi perhatian kepada isu ‘anak dara emas’ ini. Sebelum ini pun ramai yang memberi cadangan, antaranya meminta golo­ngan ini jangan terlalu memilih, menerima lelaki yang bergaji lebih rendah dan tidak kurang juga yang mengesyorkan poligami sebagai penyelesaiannya.

Ya, saya pun faham sangat. Dalam bab-bab seperti ini ramai yang begitu prihatin terutamanya lelaki ­kerana bimbang golongan ‘anak dara emas’ ini akan terjebak dengan perkara yang bukan-bukan. Love Scam contohnya.

Apa pun sebenarnya, yang kawan saya marahkan itu, bukan kerana isu belum ada jodoh. Jodoh itu aturan Tuhan dan betul, pada masa sama yang belum bertemu jodoh perlu juga berusaha untuk mendapatkan pasangan. Tetapi itulah, yang dikesalkan, banyak pihak seolah-olah mempersendakan status golongan yang belum berkahwin ini dan tidak kurang juga memperlekeh.

Sedangkan, katanya, belum tentu yang sudah berpasangan itu hidup bahagia berbanding yang hidup sendirian. Entah-entah di rumah berantakan. Anak-anak terbiar tanpa perhatian. Kadar perceraian di negara ini pun terus meningkat. Jadi tidak perlulah merasa kasihan dan simpati sangat akan ke­sunyian ‘anak dara emas’, entah-entah mereka ini hidup lebih bahagia!

Kononnya juga, ada trend wanita bujang di negara ini cenderung membela binatang peliharaan eksotik. Dan ada yang mengatakan wanita bujang ini obses melampau de­ngan binatang ini sehingga sanggup tidak berkahwin. Be­tulkah? Ada statistik? Selalunya, wanita nampak lipas dan cicak pun takut, inikan pula binatang eksotik.

Apa yang mungkin kita semua tidak tahu, bukan golo­ngan ‘anak dara emas ini’ tidak pernah mencuba mencari pasangan dan bukan juga terlalu memilih. Mereka ini ada yang sudah beberapa kali mencuba tetapi dipermainkan.

Lelaki yang mempermainkan itu hanya mahu mengambil kesempatan. Disebabkan golongan wanita bujang berkerjaya ini banyak wang, punya rumah dan kenderaan sendiri, ada yang tidak ikhlas berkawan dengan mereka.

Lelaki jenis ini cuma mahu tempat mengadu kesusahan. Apabila tidak ada wang, dia mencari perempuan itu. Apabila habis semuanya, dia pun lesap. Bukan warga ­asing saja yang licik menipu wanita dengan Love Scam, lelaki tempatan pun tidak kurang skilnya. Sama naik juga.

Dengan adanya laman sosial seperti Facebook, WeChat, Twitter dan lain-lain, wanita-wanita lewat usia yang belum berkahwin ini sebenarnya terdedah dengan peni­puan. Ada lelaki yang sudah berkahwin tetapi mengaku bujang. Ada yang mahu jadikan isteri kedua, tetapi duit minyak kereta ke pejabat pun minta pada isterinya. Macam mana bila sudah ada satu lagi isteri? Takkan isteri-isteri tanggung segala-galanya?

Apabila kita memperkatakan isu ‘anak dara emas’ ini, semua pihak mesti jujur kalau benar-benar mahu membantu. Jangan persenda dan jangan sinis. Sama juga halnya dengan ‘teruna emas,’ lelaki lewat usia yang belum berkahwin tetapi yang hairannya tidak ramai pula pri­hatin nasib mereka. Apa pun, semuanya ­aturan Tuhan. Betullah, kalau ada jodoh tidak ke mana dan kalau sudah tidak ada jodoh pun, tidak ke mana-mana!

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!