11 Ogos 2016


Bilionair dan salah seorang manusia terkaya di dunia, Gerald Cavendish Grosvenor yang memakai gelaran Duke of Westminster Keenam, meninggal dunia pada usia 64 tahun kelmarin.

Menurut kenyataan syarikatnya, Grosvenor Estate, beliau meninggal dunia di sebuah hospital di Preston, barat daya England selepas jatuh sakit secara tiba-tiba di kediamannya di Abbeystead Estate.

Anak lelakinya, Hugh Grosvenor, 25, yang merupakan bapa pembaptisan kepada Putera George akan mewarisi gelaran Duke of Westminster dan syarikat Grosvenor Estate yang merangkumi 121 hektar kawasan mewah di London.

Beliau juga akan mewarisi kekayaan bapanya berjumlah sekitar £9.35 bilion (RM48.7 bilion).

Keluarga Grosvenor berasal daripada bangsa Norman yang menyerang England pada tahun 1066. Puak Norman berasal dari rantau Normandy di Perancis.

Moyang duke berkenaan, Sir Thomas Grosvenor mengahwini seorang pewaris harta, Mary Davies dan memperoleh tanah paya yang luas pada 1677.

Sejak beberapa generasi, keluarganya membangunkan tanah itu menjadi dua kejiranan paling berprestij dan mewah di London iaitu Mayfair dan Belgravia.

Portfolio keluarga Grosvenor termasuk tanah di seluruh Britain selain memiliki kawasan perumahan, pejabat dan hartanah untuk disewa di seluruh dunia.

Sejak sekian lama, senarai akhbar Sunday Times Rich List meletakkan Grosvenor sebagai lelaki terkaya di Britain, namun sejak beberapa tahun lalu, beliau kehilangan gelaran itu kepada beberapa bilionair paling kaya yang menetap di negara itu.

Pada tahun ini, Sunday Times menganggarkan duke berkenaan mempunyai kekayaan berjumlah £9.35 bilion.

Ratu Elizabeth II menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Istana Buckingham turut menyampaikan mesej takziah kepada keluarga Grosvenor. Pada masa sama, Pejabat Putera Charles memberitahu beliau dan isterinya, Camilla terkejut dan berasa sedih dengan berita kematian Grosvenor.

Duke berkenaan meninggalkan seorang balu, Natalia, anak lelakinya, Hugh dan tiga anak perempuan.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!