27 September 2016


Badan Bertindak Restorasi Air Kelantan (Restorasi) memulakan siri jelajahnya di seluruh negeri bagi mendesak kerajaan Pas Kelantan melakukan rombakan dalam pengurusan Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, misi tersebut akan digerakkan ke beberapa daerah terlebih dahulu bagi memaklumkan dan memberi kesedaran kepada rak­yat mengenai keperluan rombakan tersebut.

“Misi ini bermula di sini (Machang) pada hari ini selepas memorandum berkaitan perkara itu diserahkan kepada Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) baru-baru ini.

“Kita akan bergerak ke beberapa daerah lain selepas ini untuk tujuan yang sama,” katanya ketika ditemui selepas program Siri Jelajah Restorasi Desak Kerajaan Rombak AKSB di sini hari ini.

Sebelum ini, Restorasi yang dibentuk bagi mewakili rakyat menuntut pengurusan AKSB dirombak dan disusun semula selepas dilihat gagal memainkan peranan sehingga menyebabkan masalah bekalan air bersih di nege­ri ini berlarutan sejak sekian lama.

Sementara itu Mohd. Fared mengulangi pendirian bahawa perjanjian Penstrukturan Semula Bekalan Air Negeri (Migrasi Air) antara kerajaan Pas Kelantan dengan Pusat yang dimuktamadkan baru-baru ini tidak akan berjaya mencapai aspirasi penduduk Kelantan sekiranya AKSB masih tidak dirombak.

“Ratusan juta telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk kerajaan Pas Kelantan untuk mengatasi masalah air, namun sehingga berpuluh tahun tiada kesan, malah rakyat terus terancam dengan masalah itu.

“Setiap kali masalah air timbul, ada yang mengatakan perkara itu adalah masalah global, di mana-mana pun ada masalah itu. Bagi kami itu tidak timbul, kita mahukan masalah negeri kita selesai. Di tempat lain itu dia punya pasal,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau percaya rombakan tersebut juga menjadi aspirasi penduduk terutama pelanggan-pelanggan AKSB berikutan kegagalan syarikat kerajaan negeri itu menangani masalah air bersih sehingga berlarutan sejak sekian lama.

“Rakyat, khususnya pelanggan-pelanggan AKSB mahukan air bersih. Setiap bulan mereka bayar bil bukan untuk dapat bekalan air berkarat,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!