1 September 2016


Supermodel Brazil, Gisele Bundchen kekal sebagai model wanita yang menerima bayaran tertinggi di dunia dengan perolehan mencecah AS$30.5 juta (RM124.2 juta) se­tahun, manakala pendapatan anggota keluarga Kardashian, Kendall Jenner pula meningkat lebih dua kali ganda, menurut senarai majalah Forbes 2016 kelmarin.

Kendall, 20, yang menyertai siri realiti televisyen, Keeping Up With The Kardashians terikat di tempat ketiga selepas melonjak dari kedudukan ke-16 pada 2015 sekali gus peningkatan tertinggi dalam senarai itu.

Gajinya melonjak daripada AS$4 juta (RM16.3 juta) pada 2015 kepada AS$10 juta (RM40.7 juta) tahun ini, sebahagiannya kerana perkongsian dengan Estee Lauder dan Calvin Klein, kata Forbes.

Anak jati Illinois, Karlie Kloss, 24, juga berada di tempat ketika selepas pendapatannya naik dua kali ganda kepada AS$10 juta.

Menurut majalah itu, Karlie memperoleh lebih banyak kempen iklan berbanding model-model lain dalam senarai tersebut.

Gisele, 35, menerima pendapatan lebih besar berbanding model-model lain di dunia sejak 2001 dan berterusan mengumpulkan wang yang banyak daripada kempen pengiklanan bersama Channel, Carolina Herrera dan Pantene.

Berada di tangga kedua dengan pendapatan tahunan AS$10.5 juta (RM42.7 juta) ialah rakan senegaranya, Adriana Lima. Model pakaian dalam wanita, Victoria's Secret itu bekerja sama dengan Maybelline dan jenama jam tangan IWC.

Muka baharu yang berada pada kedudukan tertinggi senarai Forbes kali ini ialah Gigi Hadid. Dia berada di tempat kelima. Gigi mempunyai lebih 22 juta peminat di laman perkongsian gambar Instagram, manakala jenama seperti Maybelline dan Tommy Hilfiger berminat untuk menawan hati pengikutnya.

Kesemua 20 model dalam senarai itu memperoleh pendapatan keseluruhan berjumlah AS$150 juta (RM610.8 juta) antara 1 Jun 2015 hingga 1 Jun 2016.

Senarai itu mengambil kira pendapatan daripada kosmetik, wangian dan kontrak lain dan dibuat berdasarkan wawancara dengan sebilangan pengurus, ejen dan eksekutif penjenamaan.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!