29 September 2016


Ahad lalu, seorang artis lelaki ditahan kerana dadah dan memiliki senjata berbahaya. Pelakon Atikah Suhaime pula gempar dengan gambar lucah bersama rakan artis lelakinya. Dua insiden ini adalah puluhan kes moral dihadapi artis generasi sekarang dikala mereka dipuja peminat.

Artis terjebak dalam gengsterism atau menyertai kongi gelap tertentu berkemungkinan ada, jika tidak masakan timbul sebelum ini beberapa kes pergaduhan di kelab malam atau pusat hiburan yang dikunjungi artis itu. Kes Ahad lalu jelas sewaktu aktor berusia 28 tahun itu diserbu polis di kediaman di Jalan Ampang, turut dirampas benih pokok ganja, 21 pisau, tujuh pedang samurai, empat pistol angin, tiga buku lima, dua senapang angin, sebilah kapak dan sehelai vest Polis Diraja Malaysia (PDRM). Untuk apakah barangan itu semua?

Apabila terjadi insiden begini, reaksi atau komen balas diterima di kalangan artis alasan basi diberi artis pun manusia biasa, tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Benar artis itu manusia biasa yang makan dan berak, tetapi harus diingat artis itu adalah cerminan masyarakat.


Apabila sudah dilabel cermin, bermakna sesuatu yang positif haruslah dijadikan identiti bukan negatif. Ibarat berani kerana benar, ada artis cuba menegakkan benang basah di atas kerosakan moral dilakukan, tetapi apabila dicabar membuat laporan polis tidak berani ke balai.

Umpamanya kes Atikah Suhaime, alangkah baik jika pelakon berasal dari Singapura itu membuat laporan polis bagi membersihkan namanya. Pada waktu sama dia membersihkan juga nama ramai selebriti Singapura yang mencari makan di sini sama ada menjadi penyanyi, pelakon atau komposer sesudah republik negara kelahiran mereka tidak menjanjikan masa depan cerah buat kalangan selebriti Melayu.

Mengapa pula pada sidang akhbar tempoh hari pihak pengurusannya pula yang menyibuk. Untuk mengetahui sesuatu itu benar atau tidak mudah sahaja, jika laporan polis sudah dibuat segala siasatan mula dilakukan daripada A hinggalah ke Z, lalu tidak mustahil artis yang konon berlagak suci penyudahnya terpaksa dikalungkan ‘gelang besi’ lalu beristirehatlah dikau seketika di sebalik tirai besi menanti penghakiman.

Lain dulu lain sekarang, penulis berhadapan berlambak masalah moral artis ketika menjadi wartawan pada era 80-an dan di kala itu Tok Mat (Allahyarham Tan Sri Mohamad Rahmat) menjadi Menteri Penerangan. Artis yang ada masalah moral usah cuba tunjuk belang dengan Tok Mat kerana bukan seorang dua artis kita ‘digam’ oleh RTM (Radio Televisyen Malaysia) gara-gara masalah moral mereka.

Jika dihurai di kolum ini masalah moral beberapa artis di era Tok Mat, semacam tidak sesuai kerana ramai di kalangan mereka sudah berhijrah. Memadailah dikaitkan betapa perihal moral yang simple apabila penyanyi rock tidak dibenarkan berambut melepasi bahu.

Ramai penyanyi rock ‘berbulu’ dengan tindakan Tok Mat itu kerana bagi mereka rambut panjang adalah imej rockers. Bagi pihak kerajaan pula ketika itu, tiada masalah untuk rockers itu berambut panjang tetapi usah mimpilah nak dapat peluang keluar di media RTM.

Ketegasan Tok Mat, sekalipun tidak disenangi ramai artis, hakikatnya ia baik untuk suburkan moral di kalangan artis. Sebabnya ada kumpulan rock ketika itu terjebak dengan najis dadah, lalu imej yang serabai dikhuatiri mempengaruhi peminat remaja ketika itu.

Kumpulan rock tiada pilihan akhirnya terpaksa akur melalui acara simbolik vokalis Wings, Awie dikerat rambutnya oleh Tok Mat. Siapa tahu lagu Aku Dah Bosan nyanyian Amy Search adalah luahan emosi kelompok rockers tanda protes terhadap apa yang dilakukan Tok Mat.

Bukan saja rockers jadi mangsa, ada berpuluh lagu-lagu dikategorikan menyimpang akidah digam RTM seperti Kaulah Segalanya oleh Ruth Sahanaya dan Andainya Aku Pergi Dulu nyanyian Alleycats gara-gara liriknya mencatat “Jikalau ku pergi dulu, kunantimu di pintu syurga.”

Imej pondan dan bapuk juga tidak dibenarkan lalu watak Sam (lakonan Imuda) dalam 2 + 1 menjadi mangsa. Tidak seperti sekarang, pelbagai imej tidak elok disiarkan di televisyen dan bukan sesuatu yang asing jika kita menonton drama dan filem watak juru mekap dan pegawai perhubungan awam dan kini berjangkit ke wartawan, mesti ada watak ‘sotong’. Lalu ke arah mana kita mahu membentuk generasi kita?

Bagi artis terpalit sejarah hitam sesudah melangkah ke bidang seni, usah bermimpi mengharapkan peminat agar tidak menyiarkan gambar atau mengenang kembali sejarah hitam dilalui. Ia samalah dengan artis perempuan yang berhijrah, ramai yang minta supaya tidak disiarkan gambar lama mereka tidak bertudung. Pihak wartawan dari media bertauliah, boleh akur dengan permintaan artis berkenaan.

Malangnya tiada jaminan untuk masyarakat mengeksploit gambar silam artis terutama yang mengaibkan, kerana kita sekarang berada di dunia siber, di zaman fitan iaitu fitnah akhir zaman yang sekali klik seluruh dunia boleh menonton atau menatap keaiban kita.

Justeru, cerminlah diri sendiri terlebih dahulu apakah bersedia untuk menceburi bidang yang aib kita begitu murah dijaja atas alasan hiburan.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!