Larangan berambut afro di sebuah sekolah persendirian perempuan di Pretoria, Afrika Selatan akhirnya ditarik balik selepas beribu-ribu petisyen dan demonstrasi antiperkauman diadakan oleh pelajar kulit hitam Ahad lepas.
Rata-rata masyarakat kulit hitam berang apabila rambut afro yang merupakan kebanggaan mereka sejak turun-temurun telah dihalang, sebaliknya mereka diminta oleh pihak pengurusan untuk meluruskan rambut kerana afro dikatakan seperti ‘monyet’ atau ‘sarang tebuan’.
Agensi berita BBC melaporkan, pihak pengurusan terpaksa menarik balik peraturan itu selepas mendapat tekanan luar biasa daripada orang ramai khususnya pelajar dan guru sehingga menyebabkan Kementerian Pendidikan terpaksa campur tangan.
Menteri Pendidikan Wilayah Gauteng, Panyaza Lesufi berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan berhubung aduan-aduan yang dibuat oleh pelajar kulit hitam berhubung syarat dan peraturan itu di Pretoria.
“Kami telah menarik balik peraturan tersebut sehingga sebuah badan bebas menyiasat berhubung insiden ini. Pelajar-pelajar ini turut mengadu ada pihak dari bahagian pengurusan menuduh mereka memiliki rambut seperti monyet dan sarang tebuan.
“Penghinaan seperti ini perlu dihentikan. Hentikan tindakan menghina bahasa atau cara kehidupan mereka malah penggunaan bahasa Afrika perlu diperluaskan,” katanya.
Gambar protes pelajar sekolah menjadi viral pada hujung minggu lepas dan telah mencetuskan perdebatan pelbagai pihak melalui hashtag #StopRacismAtPretoriaGirlsHigh yang digunakan lebih daripada 150,000 kali dalam laman sosial Twitter.
Sekolah berprestij yang ditubuhkan pada 1902 itu telah banyak melahirkan ilmuwan terkenal dan pernah menyaksikan hanya orang kulit putih dibenarkan belajar di situ.
Sebuah petisyen yang telah ditandatangani oleh lebih 25,000 orang turut dihantar kepada pihak kementerian bagi menghalang peraturan seperti itu pada masa depan.
Pembulian perkauman melalui dasar Aparteid oleh orang kulit putih terhadap kulit hitam telah dibasmi pada 1994 di Afrika Selatan, bagaimanapun ada beberapa tempat seperti di sekolah Pretoria masih mengamalkan sistem tersebut.